Rakyat Malaysia tergempar, terkejut dan membidas keganasan geng Baju Merah yang diketuai Jamal Yunos ketika peserta-perserta Bersih5.0 berada di Lumut dan Teluk Intan pada hari ini.
Antara keganasan-keganasan yang dilakukan oleh mereka termasuk penunggang-penunggang motosikal berpakaian baju merah yang menyerang dan menghentap kereta-kereta yang dipandu peserta-peserta Bersih5.0 semasa dalam perjalanan di Teluk Intan dan Lumut, Perak.
Geng Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Yunos ini juga melakukan keganasan di Teluk Intan apabila beliau merampas kain rentang yang dipegang oleh peserta-peserta Bersih5.0, apatah lagi mereka bertindak sebagai maharaja seolah-olah mereka tidak perlu mematuhi undang-undang.
Kenyataan oleh mereka yang hadir di tempat kejadian mengatakan bahawa pasukan polis memang hadir di tempat kejadian tetapi mereka tidak menjalankan tugas untuk memelihara ketenteraman awam. Sebaliknya mereka kelihatan seolah-olah terpaku di tempat kejadian tanpa mengambil apa-apa tindakan pencegahan mahupun penangkapan.
Adalah amat jelas bahawa mereka yang sengaja mencetuskan kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam ialah Geng Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Yunos. Saya menggesa pihak PDRM mengambil tindakan segera untuk menyiasat dan menahan Geng Baju Merah yang diketuai Jamal Yunos, sama seperti dalam kes-kes di mana mereka menjalankan tindakan cepat untuk menyiasat “salahlaku pembangkang”.
Janganlah kegagalan PDRM mengambil tindakan cepat ditafsir sebagai PDRM bertindak berat sebelah dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan politik pihak parti pemerintah.