Saya merujuk kepada laporan berita di portal Malaysiakini tentang dua kes keganasan terhadap rumah tangga, satu di Bukit Mertajam dan satu lagi di Seremban. (http://www.malaysiakini.com/news/238271).
Menurut laporan tersebut, saudara salah seorang daripada mangsa tersebut telah mendakwa bahawa, walaupun laporan polis telah dibuat, namun polis enggan mengambil tindakan kerana tiada kesan kecederaan dan mereka menganggap kes ini sebagai satu pertelingkahan rumah tangga.
Sedihnya, ini merupakan pengalaman ramai mangsa keganasan rumah tangga. Pegawai polis, yang kadang kalanya berniat baik, memandang ringan terhadap laporan yang dibuat kerana menganggapnya sebagai “masalah rumah tangga semata-mata”. Mangsa juga seringkali dinafikan permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO). Baru-baru ini, seorang mangsa keganasan rumah tangga di Bukit Mertajam, Lai Siew Fong telah meninggal dunia kerana kecederaan serius akibat dibakar selepas satu “pertelingkahan rumah tangga”. Ahli keluarga mendiang berkata bahawa Lai sudah pernah beberapa kali membuat laporan polis menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan pernah memohon IPO tetapi gagal.
Mengikut jawapan yang diberi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada soalan saya di mesyuarat Parlimen yang lepas, jumlah kes keganasan rumah tangga meningkat setiap tahun dari 2010.
| Tahun | 2010 | 2011 | 2012 |
| Jumlah | 3173 | 3277 | 3488 |
Jadual 1: Kes keganasan rumah tangga dari 2010-2012
Dalam tempoh 10 tahun, dari 2002 ke 2012, kes seperti ini meningkat sebanyak 27%.
Apa yang menyedihkan ialah, daripada keseluruhan kes keganasan rumah tangga dari 2010-2012, hanya lebih kurang 8.22% kes ataupun hanya 817 kes daripada jumlah 9938 kes saja yang telah disabit kesalahan.
Ini menunjukkan bahawa sistem kita mempunyai kelemahan yang amat ketara dalam mengendalikan kes keganasan rumah tangga. Mangsa kes sebegini selalunya terpaksa menderita dalam senyap kerana hubungan kekeluargaan. Atas alasan menutup malu keluarga, maka keselamatan dan penderitaan mangsa sering diketepikan. Dan jika mangsa akhirnya tampil ke hadapan untuk membuat laporan polis, beliau seringkali terpaksa menghadapi pegawai polis yang tidak sensitif ataupun lebih teruk lagi, pegawai yang membuat penilaian moral terpesong terhadap beliau. Ini menyulitkan lagi proses mangsa mencari keadilan dan perlindungan.
Dalam ucapan Parlimen saya pada bulan Julai yang lepas, saya telah menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengkaji pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memudah permohonan dan penguatkuasaan IPO. Pasukan polis juga perlu diberi latihan khas bagi mengendalikan kes-kes jenayah terhadap mangsa wanita yang selalunya memerlukan sensitiviti yang amat tinggi.
Akhir sekali, masyarakat, kerajaan dan pihak polis perlu sedar bahawa keganasan rumah tangga bukan satu masalah peribadi dalam keluarga semata-mata. Ia merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman undang-undang. Justeru, kes-kes keganasan rumah tangga tidak patut dipandang ringan oleh sesiapapun.