Skip to content

Kehadiran PM melawat gelandangan Kuala Lumpur tidak bawa faedah kepada gelandangan

Kehadiran Perdana Menteri melawat gelandangan Kuala Lumpur tidak bawa faedah kepada gelandangan, malah membuktikan bahawa Perdana Menteri langsung tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Pertamanya saya ucap tahniah kepada Perdana Menteri Dato Sri Najib Razak yang telah menunjukkan keprihatinan beliau dengan melawat para gelandangan Kuala Lumpur malam semalam.

Lawatan yang disertai Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor pastinya sangat dihargai oleh warga miskin kota yang telah sekian lama mendiami kaki lima kotaraya dan mengharap ehsan daripada orang ramai.

Lima tahun lalu, saya dan beberapa orang rakan telah mengedarkan sejumlah makanan kering kepada warga miskin kota dan gelandangan Kuala Lumpur bagi menolak dakwaan Najib bahawa kononnya ibu kota sudah tidak lagi mempunyai warga miskin tegar.

Sejak itu pun Perdana Menteri dan Barisan Nasional tidak banyak membantu untuk meringankan beban yang ditanggung mereka yang tidak bernasib baik, selain membuat pengumuman dan berjanji itu dan ini.

Adakah selepas lawatan ini Najib Razak akan merangka suatu penyelesaian yang baik bagi menangani permasalahan gelandangan dan warga miskin kota; atau adakah cadangan ‘mengangkut’ para peminta sedekah serta mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah adalah rancangan terbaik yang mampu beliau fikirkan?

Saya hairan apabila melihat bahawa Perdana Menteri sekadar datang melawat para gelandangan di kaki lima dan kemudian membiarkan sahaja mereka di situ tanpa membuat apa-apa. Ternyata nasib warga miskin kota tidak pun berubah walaupun Perdana Menteri sendiri melawat mereka. Bagaimana mungkin warga miskin terus dibiar tidur di kaki lima selepas lawatan Perdana Menteri?

Ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak pernah berbuat apa-apa sejak lima tahun lalu, dan beliau sendiri tidak tahu apa yang patut beliau lakukan sekarang. Lawatan Perdana Menteri semalam tidak memberi sebarang faedah selain satu usaha publisiti dan menyelamatkan imej partinya yang dirosakkan para menterinya.

Lawatan Perdana Menteri sama tarafnya dengan satu-satunya gol yang dijaringkan Brazil dalam perlawan separuh akhir Piala Dunia menentang Jerman, setelah dimalukan dengan tujuh gol.