Kehilangan nyawa dan mata pencarian akibat peningkatan kematian dan jangkitan COVID-19 serta keadaan ekonomi yang mendesak bagi rakyat biasa adalah faktor utama dalam mempertimbangkan reformasi institusi oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Ini adalah masa yang sangat genting untuk Malaysia dengan rekod tertinggi 592 kematian menjadikan jumlah kematian menjadi 20,419 yang tragis pada 11 September 2021 dan jumlah jangkitan hampir mencecah angka 2 juta dengan 1,955,881 kes.
Keadaan ekonomi tidak bertambah baik tetapi semakin merosot bagi ramai orang dengan perniagaan ditutup, terutamanya PKS, dan pekerja kehilangan pendapatan atau pekerjaan serta keluarga yang porak peranda. Di bawah krisis nasional yang begitu parah, ada keperluan mendesak untuk mencari landasan bersama bagi kebaikan semua untuk menang dalam pertempuran melawan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.
COVID-19 telah melanda setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. PH dan DAP tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan rakyat di mana seorang wanita Melayu yang hamil dengan anaknya yang ke-5 meninggal dunia akibat COVID-19 dan meninggalkan empat anaknya yang masih kecil tanpa seorang ibu, seorang lelaki Cina berusia 22 tahun dari keluarga miskin yang telah berusaha gigih untuk memastikan anak tunggal mereka tamat pengajian universiti namun kehilangannya akibat COVID-19 atau seorang profesional India berusia 34 tahun yang sihat secara tiba-tiba meninggal dunia ketika tahap oksigennya menurun, tidak dapat bernafas dan tidak sempat mendapat katil ICU kerana kadar penggunaan ICU lebih daripada 100%.
Penderitaan rakyat perlu diutamakan. Meskipun adanya ketidakpercayaan sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan, tawaran reformasi oleh Ismail perlu dipertimbangkan dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan yang ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam. Ini tidak hanya merangkumi Pelan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah semasa tempoh moratorium pinjaman bank atau Pelan Reset COVID-19 Negara untuk mengurangkan kematian dan jangkitan.
Perlu ada pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam dengan fokus bersama yang melibatkan masyarakat sivil untuk menang dalam pertempuran melawan COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat. Mengetepikan kepentingan politik untuk mengambil pendekatan bipartisan bukanlah mudah. Tetapi kita perlu berani berusaha demi menyelamatkan bukan sahaja anak muda tetapi juga masa depan anak muda negara.