Menjawab ucapan dan soalan saya di Peringkat Jawatankuasa di Parlimen pada hari ini, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan bahawa pihak Jabatan Warisan Negara akan menempatkan semula Batu Sumpah di lokasi asalnya.
Jawapan ini merupakan satu kemenangan kedua kepada rakyat Sabah selepas sebelum ini beliau menyatakan bahawa kerajaan bakal mewartakan Batu Sumpah sebagai Warisan Negara menjawab soalan saya di Parlimen pada 16 November 2015 yang lalu.
Batu Sumpah adalah satu-satunya monumen yang tercatat tiga jaminan Kerajaan Malaysia kepada Sabah pada awal penubuhan Malaysia iaitu jaminan berkaitan kebebasan beragama, hak tanah dan pemuliharaan adat istiadat.
Dalam ucapan hari ini, saya merujuk kepada perkara P31 Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan butiran 020500 Pembangunan Prasarana, dan butiran 080000 Warisan Negara kod 20000.
Antara perkara yang saya bangkitkan ialah pertanyaan sanya mengenai bilakah pihak kementerian akan mewartakan Batu Sumpah tersebut dan bila plak asal batu sumpah yang mempunyai perkatan “Kerajaan Malaysia Jamin” akan diletakkan semula?
Dalam perkara yang sama, saya juga telah mencadangkan supaya sebuah “Kompleks Bersejarah Keningau” dibina untuk menempatkan Batu Sumpah yang mempunyai historical and constitutional value yang amat penting kepada sejarah Malaysia dan Orang Asal Sabah.
Saya juga telah mencadangkan supaya sejarah Batu Sumpah Keningau ini dimasukkan dalam buku teks sekolah supaya seluruh rakyat Malaysia tahu dan menghormati Sabah sebagai sebuah negara yang membentuk Malaysia.
Pada petang hari Isnin, 16 November 2016, menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semasa menjawab soalan parlimen saya, menyatakan kerajaan akan mengiktiraf dengan mewartakan Batu Sumpah yang bertempat di Keningau sebagai objek warisan negara. Saya sekali lagi ingin ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada menteri kerana mengambil tindakan untuk mewartakan Batu Sumpah ini.
Untuk pengetahuan bersama, DAP Sabah bersama Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah yang diketuai Dr Edwin Bosi (ADUN Kepayan, Setiausaha DAP Sabah) telah pun menjalankan kempen kesedaran Batu Sumpah sejak bulan Ogos 2014 yang lalu. Hingga sekarang, ada sembilan buah replika Batu Sumpah telah didirikan di seluruh Sabah sebagai sebuah peringatan dan kempen mengenai kepentingan Batu Sumpah kepada Sabah.
Saya percaya, tanpa Batu Sumpah yang memberi jaminan kepada masyarakat Orang Asal Sabah, Persekutuan Malaysia mungkin tidak mampu bertahan dan berjaya seperti sekarang meskipun perjuangan rakyat Sabah menuntut keadilan negeri ini masih panjang.