Ketua Whip Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) YB Tuan Nga Kor Ming berkata, Masyarakat MADANI yang bersatu dan maju memerlukan kerjasama semua pihak.
Oleh itu, katanya sudah tentu kerjasama strategik merentasi kaum antara Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah komponen penting untuk negara Malaysia terus mencipta kejayaan.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian selepas menghadiri Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari ini.
Kor Ming berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Ekonomi, YB Tuan Rafizi Ramli bahawa masyarakat Malaysia MADANI perlu fokus meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di pentas global tetapi bukan menumpukan perhatian kepada persaingan antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera sahaja.
“Dalam era globalisasi yang sedang kita alami, persaingan yang sebenar adalah antara syarikat tempatan dengan syarikat asing khususnya konglomaret antarabangsa. Oleh demikian, rakyat Malaysia perlu bekerjasama dan bukan bersaing sesama sendiri. Jangan kita terperangkap dengan pemikiran lapuk yang terbelenggu dengan mentaliti zero sum game, ” katanya.
Sehubungan itu, Kor Ming menyeru seluruh rakyat Malaysia berusaha gigih mencari peluang bekerjasama berpaksikan kepada prinsip Malaysia MADANI iaitu mewujudkan masyarakat yang berdaya cipta, hormat, ihsan, mampan dan penuh dengan keyakinan demi mencapai kesejahteraan dan kejayaan bersama.
“Dengan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, nescaya Malaysia akan bangkit semula disegani dan dihormati di pentas dunia dengan mencapai sasaran menjadi ekonomi ke-30 terbesar dan menduduki tangga ke-12 dalam Indeks Daya Saing dunia menjelang tahun 2030, ” tambahnya.
Sekian, terima kasih.