Skip to content

Kekosongan di SPR – Proses pelantikan ahli-ahli baru mesti dijalankan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Pelantikan Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam

Dalam kedua-dua sesi mesyuarat parlimen yang lepas, saya telah mencadangkan sebuah usul tidak percaya terhadap enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – Tan Sri Othman Bin Haji Mahmood, Dato’ Md Yusop Bin Haji Mansor, Datuk Haji Abdul Aziz Bin Khalidin, Haji Sulaiman Bin Haji Narawi, Dato’ Bala Singam A/L Karupiah, dan Dato’ Leo Chong Cheong – dan mendesak supaya mereka meletak jawatan.

Pihak kerajaan turut dalam proses perlembagaan untuk memecat mereka. Tindakan- tindakan ini diambil kerana SPR yang lepas telah gagal dalam memelihara integriti sistem dan proses pilihan raya, terutamanya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Walaubagaimanapun, keenam-enam anggota SPR tersebut telah bersetuju untuk meletak jawatan dan tempoh perkhidmatan mereka telah tamat secara rasmi pada 1 Januari 2019. Selain itu, bekas pengerusi SPR – Tan Sri Hashim Abdullah – turut telah meletak jawatan pada tahun lepas.

Maka terdapat kekosongan di peringkat SPR, kecuali jawatan pengerusi baru yang telah dilantik pada tahun lepas. Ahli-ahli SPR yang lain akan dilantik tidak lama lagi untuk membentuk SPR yang baharu.

Perkara ini adalah sangat penting kerana SPR yang baharu ini akan memainkan peranan utama dalam mereformasikan sistem pilihan raya di Malaysia. Selain itu, SPR baharu tersebut akan bertanggungjawab terhadap semua pilihan raya yang akan datang – pilihanraya-pilihanraya kecil, pilihan raya negeri Sarawak (yang perlu dilangsungkan pada tahun 2021), dan, dalam jangkamasa panjang, PRU ke-15.

Di bawah Artikel 114(1) Perlembangaan Persekutuan, SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Walaubagaimanapun, di bawah sistem monarki berpelembagaan, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikat nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, seperti mana yang terperuntuk dalam Artikel 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, proses pelantikan ini tidaklah begitu kuat dan terbuka. Malah, Barisan Nasional (BN) pernah menyalahgunakan proses ini untuk kepentingan mereka. Sebagai contoh, mantan pengerusi SPR yang lalu merupakan bekas setiausaha sulit Tan Sri Anuar Musa, seorang ahli Majlis Tertinggi Ahli Umno sekian lama.

Dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tetap mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad, tetapi ini tidak bermakna proses membuat keputusan tersebut perlu dijalankan di belakang tirai. Pelantikan ahli-ahli SPR baru mesti dijalankan melalui proses yang lebih menyeluruh dan demokratik.

Bagaimanakah ini boleh dilakukan? Baru-baru ini, Parliament telah menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang baharu. Ini termasuk sebuah JPK untuk melantik jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam (JPK Pelantikan). Oleh itu, Kerajaan perlu memastikan bahawa pelantikan SPR baharu dilakukan melalui JPK Pelantikan.

Kerajaan dan JPK Pelantikan wajar membuat pengumuman mengenai kekosongan SPR dan membuat panggilan terbuka untuk pencalonan. Individu atau organisasi perlu dijemput untuk mencalonkan sesiapa saja yang dianggap berkelayakan.

Untuk menguatkan lagi proses ini, JPK Pelantikan boleh mengemukakan garis panduan. Sebagai contoh, ia boleh menggariskan kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi oleh calon atau memerlukan supaya setiap pencalonan disokong oleh sekian jumlah orang melalui petisyen.

Sejurus itu, JPK Pelantikan perlu menapis dan menyenaraipendekkannya semua pencalonan. JPK Pelantikan kemudiannya perlu mengadakan sesi pendengaran awam, di mana calon-calon yang telah disenaraipendek boleh membuat kenyataan dan menjawab soalan-soalan. Ruang juga perlu diberi kepada orang awam untuk membuat representasi secara rasmi, sama ada untuk menyokong atau membantah mana-mana pencalongan berdasarkan sebab-sebab yang munasabah.

Akhir sekali, JPK Pelantikan akan menentukan dan mengesyorkan senarai pencalonan yang akhir, berdasarkan maklumbalas darapada proses pendengaran awam. JPK Pelantikan juga mesti menyatakaan asas syor mereka secara terbuka.

Syor pencalonan tersebut kemudiannya wajar diusulkan di Dewan Rakyat. Selepas dipersetujui, Perdana Menteri boleh mengemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik secara rasmi.

Proses kukuh sedemikian akan memastikan Malaysia memperoleh sebuah SPR yang kuat, bebas, dan berkepakaran. SPR juga akan menikmati keyakinan awam yang lebih tinggi kerana proses pelantikan mereka dijalankan dengan penglibatan dan pemantauan orang awam.

Dalam jangka masa panjang, kerajaan wajar menginstitusikan proses-proses di dalam undang-undang supaya ia menjadi suatu ketetapan di dalam sistem demokarsi kita. Ini juga akan memastikan SPR tidak akan lagi dimanipulasikan.