Sehingga hari ini sudah hampir 4 bulan Dewan Undangan Negeri Perak melantik YB Prof Dr Aziz Bari, ADUN Tebing Tinggi sebagai Ketua Pembangkang.
Bagaimanapun, adalah amat dikesali sehingga hari ini kerajaan negeri Perak masih gagal menyerahkan pejabat Ketua Pembangkang yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan kepada YB Dr Aziz Bari. Tiada kakitangan, tiada peralatan pejabat, tiada kereta rasmi, tiada gaji dan elaun seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada Ketua Pembangkang dari UMNO iaitu YB Dato Saarani pada tahun 2018.
Kelewatan dan sikap tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri PN hari ini merupakan satu kelembapan pentadbiran serta satu penghinaan besar kepada institusi Dewan Undangan Negeri Perak. Ini juga merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen negara kita sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Saya menggesa kerajaan negeri Perak mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini supaya sistem demokrasi negara kita tidak terus dicemar oleh amalan diskriminasi yang kurang matang dan jelas melanggar doktrin pengasingan kuasa.