Saya telah menerima banyak aduan daripada ahli keluarga yang membuat permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 berkenaan kelewatan pembayaran wang bantuan tersebut.
Ada pengadu-pengadu yang memberitahu saya bahawa mereka telah menunggu berbulan-bulan untuk wang bantuan tersebut dan masih belum menerima bantuan.
Pada 17 Mac 2020, Kerajaan telah membuat membuat pengumuman bahawa Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 akan diberi kepada waris si mati bagi kematian akibat COVID-19 atau kematian dengan COVID-19 yang melibatkan warganegara Malaysia di Malaysia sahaja yang boleh memohon bantuan tersebut. Bantuan tersebut merupakan bantuan one-off sebanyak RM5000.
Menurut poster NADMA, bayaran khas akan dibuat secara Electronic fund transfer kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.
Saya telah membangkitkan isu berkenaan di Parlimen beberapa kali dan jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) YB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad boleh dirumuskan di jadual seperti berikut:
| Setakat 18-2-2022 | Setakat 5-7-2022 | |
| Jumlah Permohonan | 38,431 | 42,930 |
| Pembayaran | 17,867 (46.5%) | 25,526 (59.5%) |
| Jumlah | RM87,335 juta | RM127,630 juta |
| Ditolak | 279 | 1205 (2.8%) |
| Masih Diproses | 20,285 | 7300 (17%) |
| Dikuiri | 8899 (20.7%) |
Statistik terkini menunjukkan hanya 59.5% yang telah dibuat pembayara, 2.8% ditolak dan 17% masih diproses dan 20.7% dikuiri.
Saya meminta Kerajaan untuk mempercepatkan pemprosesan bayaran Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 yang tertunggak banyak dan berterus terang samada kekurangan dana dalam Tabung COVID-19 Nadma.
Sekiranya kekurangan dana dalam Tabung COVID-19 Nadma, maka Menteri perlu berterus terang dan menerangkan akaun wang tersebut. Saya mencadangkan supaya tambahan peruntukan Kerajaan sebanyak RM100 juta kepada Tabung Covid-19 NADMA untuk mempercepatkan pembayaran berkenaan.