Baru-baru ini, kita dikejutkan lagi dengan berita berkenaan kematian di dalam tahanan yang melibatkan seorang warganegara Sri Lanka di lokap berpusat Jinjang yang terletak di bawah kawasan Parlimen Kepong.
Ini bukan kali pertama seorang suspek mati ketika berada dalam jagaan polis dan kes-kes seperti ini perlu diambil dengan serius. Walau bagaimanapun, saya menyeru untuk semua pihak termasuk ahli keluarga dan NGO-NGO di luar sana untuk memberikan ruang dan masa bagi pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berkenaan kematian ini dan dinasihatkan untuk tindakan susulan diambil setelah keputusan siasatan dikeluarkan.
Di dalam situasi ini, pihak polis perlu menjalankan siasatan bedah siasat dan memeriksa rakaman CCTV di dalam lokap, dan polis juga perlu perjelaskan sekiranya tiada rakaman CCTV yang wujud.
Dalam masa yang sama, saya juga akan bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Allaudeen Abdul Majid di dalam masa yang terdekat untuk membincangkan isu seperti ini serta isu-isu berkenaan keselamatan orang ramai di Kuala Lumpur.