Skip to content

Kembalikan kuasa kepada rakyat melalui pilihanraya secara demokratik di Terengganu; itulah penyelesaian DAP kepada krisis perlembagaan di Terengganu

Kembalikan kuasa kepada rakyat melalui pilihanraya secara demokratik di Terengganu; itulah penyelesaian DAP kepada krisis perlembagaan di Terengganu yang terjadi akibat perletakan jawatan tiga ADUN UMNO yang kemudiannya menghasilkan kerajaan negeri minoriti. Inilah yang telah disebut oleh pemimpin DAP, termasuk Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam.

Beberapa laporan akhbar tentang kononnya seruan Kit Siang kepada Menteri Besar Terengganu yang baru, Ahmad Razif Abdul Rahman supaya menyerahkan pentadbiran kerajaan kepada PAS adalah tidak tepat. Kit Siang sekadar menyatakan bahawa ini hanyalah satu daripada tiga kebarangkalian, sebelum menegaskan bahawa jalan terbaik ialah dengan mengadakan pilihanraya semula untuk rakyat Terengganu demi menyelesaikan persoalan siapa yang harus mendapat mandat rakyat.

Perletakan jawatan tiga ADUN UMNO Terengganu menjadikan BN sebuah kerajaan minoriti dengan 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri, berbanding 15 ADUN Pakatan Rakyat di dewan yang dianggotai 32 orang ADUN. Untuk menyelesaikan kemelut ini. DAP mencadangkan supaya diadakan pilihanraya.

Bagaimana pun, Datuk A. Kadir Jasin (gambar), bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times, turut mencadangkan penyelesaian terhadap krisis Terengganu, dengan mengatakan bahawa ketiga-tiga ADUN UMNO yang menjadi ADUN bebas itu mungkin mengubah fikiran mereka jika kena dengan harganya; kerana ahli politik yang amanah tidak lagi wujud. Ramalan ‘kena dengan harga’ Kadir Jasin itu bakal terbukti benar memandangkan tiga ADUN UMNO tersebut dikhabarkan sedang mengubah fikiran masing-masing dan ingin kembali kepada UMNO.

Namun apa yang lebih tidak berprinsip, tidak jujur, dan bercanggah ialah komen daripada presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada hari ini bahawa tiga orang ADUN yang keluar UMNO Terengganu itu mesti memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat dan memastikan kerajaan negeri kekal berterusan. Oleh itu kenapa MCA tidak menyebut perkara serupa apabila tiga orang ADUN Pakatan Rakyat melompat menyertai BN dan mengakibatkan perubahan pentadbiran di negeri Perak pada tahun 2009, tetapi sebaliknya menyokong rampasan kuasa BN terhadap kerajaan Perak yang bercanggah dengan perlembagaan itu?