Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor kerap menerima permohonan-permohonan bantuan kewangan daripada warga-warga Ipoh Timor yang terpaksa menggagahkan diri mendapatkan rawatan kardiotorasik di Pulau Pinang, Serdang ataupun Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.
Pengurusan untuk mendapatkan rawatan jauh ke luar negeri membabitkan kos pengangkutan, dan penginapan, masa, berdepan dengan risiko keselamatan serta tekanan mental. Warga tua yang tersayang, contohnya, pertama kali mengharungi kesibukan Kuala Lumpur, menggunakan bas dan MRT, semata-mata untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya ada anak-anak yang mahu menolong hantarkan ke sana, mereka pula harus mendapatkan cuti.
Jika kecemasan, bagaimana perlu mereka berdepan dengan cabaran-cabaran tersebut?
Hal yang demikian terjadi adalah kerana di Bandaraya Ipoh, kami tidak cukup bertuah untuk memiliki pusat kardiotorasik kami yang tersendiri.
Tempat dan infrastruktur untuk sebuah pusat kardiotorasik di Bandaraya Ipoh sebenarnya sudah pun dalam perancangan. KKM dan EPU telah pun membuat lawatan tapak di Tingkat 5, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak. Namun, sehingga setakat ini, kami belum dimaklumkan apa-apa lagi tentang perkembangannya yang terkini, yang mana menjurus kepada persoalan-persoalan lain yang lebih kritikal.
Perlu ditanyakan apakah puncanya keterlewatan ini yang semakin hari semakin menggusarkan para pesakit kardiotorasik serta ahli keluarga yang terdekat. Adakah peruntukan tidak mencukupi untuk penubuhannya? Adakah sistem kesihatan kita ini sedang menghadapi kekurangan pakar bedah kardiotorasik? Sekiranya itu menjadi punca utamanya, mengapa seolah-olah wujudnya sekatan yang sedang memperlahankan pentauliahan dan pengiktirafan pakar bedah?
Pengiktirafan sebagai pakar bedah kardiotorasik diperolehi melalui dua laluan. Laluan pertama: latihan berstruktur KKM melalui Laluan Sejajar (Parallel Pathway) di hospital dan diuji serta ditauliah oleh badan bertaraf antarabangsa. Laluan ini telah digunakan bertahun-tahun di Malaysia dan ia menjamin para pengamal untuk mendapat peluang kerjaya dengan mudah di seluruh dunia. Laluan kedua: pengiktirafan daripada universiti tempatan melalui program pasca-ijazah.
Pihak Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada ketika ini kelihatan seperti menggunakan Akta Perubatan 1971 (dipinda tahun 2012; berkuatkuasa tahun 2017) untuk menyekat Laluan Sejajar.
Pada ketika kita menghadapi krisis kekurangan pakar bedah, kita sedang menyaksikan satu usaha untuk memperlahankan perkembangan keupayaan kesihatan dalam negara kita. Hal ini sememangnya menjejaskan kebajikan warga kita, memperjudikan nasib mereka yang rentan.
Jika ini adalah isunya yang membelenggu KKM, maka Ipoh Timor sokong semua usaha KKM untuk memperkasakan semula latihan Laluan Sejajar seterusnya membolehkan pendaftaran pakar ke dalam National Specialist Register (NSR) supaya isu kekurangan pakar bedah boleh ditangani.
Ipoh Timor juga meminta, menggesa supaya perancangan Pusat Kardiotorasik di Tingkat 5, Blok Baharu HRPB itu dilaksanakan secara segera.