Skip to content

Kemenangan besar untuk PAS di Kemaman akan menjadi penamat kepada kerajaan perpaduan Anwar sekiranya PN berjaya merampas Selangor atau Negeri Sembilan pada bulan Ogos, namun PN tidak berjaya berbuat demikian, menunjukkan yang gelombang hijau ini sudah pun mencatatkan paras sokongan tertingginya

Saya tidak bersetuju dengan mereka yang melihat kemenangan besar PAS dalam pilihan raya kecil Kemaman sebagai tanda untuk mengatakan yang gelombang hijau PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu belum reda.

Kemenangan besar untuk PAS di Kemaman akan menjadi penamat kepada kerajaan perpaduan Anwar sekiranya PN berjaya merampas Selangor atau Negeri Sembilan pada bulan Ogos, namun PN tidak berjaya berbuat demikian, menunjukkan yang gelombang hijau ini sudah pun mencatatkan paras sokongan tertingginya.

Walaupun gelombang hijau ini masih menjadi satu faktor yang tidak boleh dipandang remeh, ia kini tidak lagi sehebat sebelum ini. Kekecohan Mastura sebelum ini telah menunjukkan kelemahan gelombang hijau – bahawa ia dibina di atas penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.

Tidak ada pemimpin PAS, termasuklah Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri, yang merupakan pemenang pilihan raya kecil Kemaman merangkap calon Perdana Menteri PAS, berani untuk mengecam perbuatan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura di atas penipuan dan ucapan kebenciannya, kerana kecaman sebegini akan menjadi seperti satu kecaman ke atas Presiden PAS, Hadi Awang, yang telah membuat perkara yang sama.

Ini jugalah sebab mengapa ahli majlis tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md. Yusof, gagal untuk menunjukkan gelombang yang dikatakannya apabila dia menjangka sepuluh orang Ahli-ahli Parlimen kerajaan akan memberikan sokongan kepada PN.

Tetapi apa yang mengejutkan adalah jangkaan bekas Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini, yang mengatakan bahawa UMNO akan disapu bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-16 melainkan parti tersebut meninggalkan DAP.

Jelas sekali pandangan bekas Perdana Menteri ini tidak dikongsi oleh rakan-rakan kabinetnya seperti Tun Daim Zainuddin.

Apa yang akan menyelamatkan UMNO bukanlah untuk parti tersebut meninggalkan sifat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya, sebaliknya untuk parti tersebut kembali kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara yang dipegang oleh tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan para Presiden UMNO.