Enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos akan menjadi penanda kuat untuk perkara yang akan terjadi di Malaysia – sama ada negara kita akan terus berada dalam hala tuju reformasi, untuk menetapkan semula hala tuju dan mengembalikan Malaysia ke prinsip asal pembinaan negara Malaysia majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn) ke dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara atau sama ada kita ditakdirkan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam beberapa dekad yang akan datang.
Kerana inilah enam pilihan raya negeri ini penting bukan sahaja untuk Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, tetapi juga untuk negara kita secara keseluruhannya.
Saya akan gembira melihat pengekalan status quo pada hari pengundian 12 Ogos – di mana gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional menang di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga di setiap DUN dan Perikatan Nasional memenangi Kedah, Kelantan, dan Terengganu tetapi pada masa yang sama PH-BN mencatatkan penambahbaikan di tiga negeri ini.
Kemenangan untuk gabungan PH-BN di Kedah dan Terengganu akan melepasi jangkaan saya untuk enam pilihan raya negeri ini, tetapi sekiranya perkara ini berjaya dicapai, maka masa hadapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia amatlah cerah.
Marilah semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina, bersatu padu sebagai rakyat Malaysia dalam pilihan raya negeri ini untuk membina sebuah masa hadapan yang lebih baik untuk Malaysia demi anak-anak dan cucu-cucu kita.
Tidak ada sesiapa yang meminta orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak untuk melupakan identiti etnik atau agama mereka, tetapi kita semua perlulah “Pertamanya rakyat Malaysia”.
Ada kuasa-kuasa politik yang sedang menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk membuatkan rakyat Malaysia berasa syak wasangka terhadap satu sama lain dan untuk mempolarisasikan negara kita, sama ada melalui garisan perkauman, keagamaan, atau kebudayaan.
Janganlah kita termakan perangkap mereka ini.
Rakyat Malaysia patut berbangga dengan legasi pertemuan empat tamadun hebat dunia di Malaysia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – dan bekerjasama untuk menjadi Malaysia contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Marilah kita tunjukkan kepada dunia yang rakyat Malaysia boleh menjadi juara dunia sekali lagi.