Skip to content

Kementerian Kewangan mesti menjelaskan sama ada 1MDB akan muflis atau tidak mampu membayar hutang-hutangnya

Kementerian Kewangan mesti menjelaskan sama ada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan muflis atau tidak mampu membayar hutang-hutangnya sekiranya mereka terus bergantung kepada keuntungan melalui penilaian semula aset sebanyak RM2.7 bilion bagi mencatat keuntungan sebanyak RM778 juta dan tidak menghiraukan kenaikan jumlah keterhutangan yang menjangkau RM42.3 bilion, yang hampir mencecah nilai jumlah asetnya sebanyak RM44.7 bilion? Apabila 1MDB akhirnya menyerahkan akaunnya yang sudah lama tertangguh untuk tahun kewangan 2013 berakhir 31 Mack kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, selepas bertukar auditor, 1MDB sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak menghasilkan keuntungan tanpa mencipta keuntungan atas kertas secara kreatif daripada penilaian semula hartanah.

Keuntungan selepas cukai 1MDB berjumlah RM778.2 juta (berasaskan pendapatan RM2.6 bilion) bagi tahun kewangan 2013 adalah hasil daripada penilaian semula tanah yang memberikan pulangan RM2.7 bilion, yang tanpanya 1MDB pastinya akan kehilangan RM1.8 bilion. Muslihat yang sama turut dilakukan untuk tahun kewangan 2012 apabila 1MDB mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM44.2 juta, hanya selepas membuat pulangan RM599.9 juta daripada langkah penilaian semula aset hartanahnya.

1MDB adalah sebuah syarikat pembangunan strategik, ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan untuk memacu pelaburan dan memastikan pembangunan ekonomi yang mampan. Sejak agensi pelaburan negara itu ditubuhkan pada tahun 2009, 1MDB telah berkembang menjadi sebuah dana kekayaan negara yang hampir sahaja menandingi saiz Khazanah (lihat bawah). Aset 1MDB mencecah RM45 bilion setakat penghujung Mac 2013 berbanding RM64 bilion milik Khazanah.

Apa yang dirunsingkan ialah hutang 1MDB yang begitu tinggi, dengan jumlah liabiliti sebanyak RM42.3 bilion, yang lebih besar berbanding hutang Khazanah bernilai RM37.4 bilion dan RM4.4 bilion hutang KWSP. Pembayaran hutang tahunan 1MDB pula adalah sebanyak RM1.6 bilion. Terdapat juga kerugian kemerosotan hampir RM1.2 bilion daripada pengambilalihan aset tenaganya. Ini menimbulkan kerunsingan berat terhadap daya majunya bagi jangka panjang, termasuk persoalan sama ada hutangnya yang menggunung itu akan akhirnya menyebabkan 1MDB menjadi muflis dan bankrap.

Selanjutnya 1MDB perlu menangani persoalan tentang pertukaran kerap auditornya (tiga sejak 2009); kelewatan mengeluarkan laporan audit, premium mahal yang dibayar kepada aset tenaga serantau, sejumlah tunai yang disimpan di institusi pelaburan luar negara, serta kadar faedah tinggi yang dibayar untuk sesetengah terbitan bon (contohnya 5.75% untuk terbitan bon dijamin kerajaan bernilai RM5 bilion). Meskipun liabiliti luar jangka Kerajaan Persekutuan adalah terhad kepada RM5 bilion, ini masih merupakan satu jumlah yang besar yang mesti diambil kira demi kepentingan orang ramai.

Atas sebab ini 1MDB mesti jujur dan telus bukan sahaja demi menegakkan ketelusan dan akauntabiliti tetapi juga untuk memastikan bahawa pengurusannya dijalankan secara profesional dan cekap. Teknik perakaunan kreatif dengan bergantung kepada hasilan penilaian semula hartanah demi mencatat keuntungan mesti dihentikan. Sama juga, Kementerian Kewangan mesti menanyakan soalan-soalan yang betul tentang apa langkah yang diambil oleh pihak pengurusan untuk mengurangkan liabiliti besar 1MDB bernilai RM42.3 bilion?

Jumlah aset(bilion) Jumlah liabiliti(bilion)
1MDB 44.7 42.3
Khazanah 64.4 37.4
KWSP 597.8 4.4
KWSP(Kumpulan) 642.1 45.3

Nota: Penyata kewangan Khazanah setakat 2012; KWSP setakat penghujung 2013; 1MDB setakat penghujung Mac 2013

** ANGGARAN BANK OF AMERICA MERRILL LYNCH GLOBAL RESEARCH