Kementerian Kewangan mesti telus tentang faedah serta pertumbuhan ekonomi yang dinikmati rakyat Malaysia daripada pinjaman bernilai RM38.4 bilion oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah menyumbang kepada peningkatan kadar hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK sehingga mencapai 70%. Jaminan pinjaman yang begitu besar dan tidak dijelaskan oleh kerajaan persekutuan telah mengakibatkan agensi Fitch Ratings untuk menyemak semula unjuran kredit Malaysia daripada ‘stabil’ menjadi ‘negatif’.
Fitch mempersoalkan penggunaan hutang tidak yang tidak disenarai rasmi melalui jaminan kerajaan sehingga mencecah hamoir RM150 bilion, yang telah meningkatkan jumlah keterhutangan rasmi kerajaan daripada RM502 bilion menjadi RM650 bilion pada penghujung tahun 2012. Unjuran kredit negatif Fitch terhadap Malaysia boleh memberi kesan buruk kepada negara dalam bentuk peningkatan kos untuk pinjaman selain mengakibatkan peningkatan kadar inflasi.
Kerajaan Malaysia mengecilkan jumlah hutang kerajaan persekuuan dengan tidak mengambil kira hutang-hutang yang tidak disenarai secara rasmi sebagai sebahagian daripada hutang kerajaan. Jika kedua-dua hutang rasmi kerajaan dan hutang yang dijamin kerajaan dikira bersama, kadar hutang kerajaan persekutuan terhadap KDNK akan mencecah 70%, bukan 54% seperti yang didakwa malah adalah menyalahi undang-undang yang menetapkan takat statutori sebanyak 55% sahaja.
Kebanyak hutang yang dijamin kerajaan ini berpunca daripada instrumen kewangan seperti pinjaman 1MDB bernilai US$ 12 bilion atau RM39 bilion melalui terbitan bon. Sehingga hari ini, rakyat Malaysia masih tidak tahu siapakah pihak pengurusan serta status pinjaman RM39 bilion yang dijamin oleh mereka, terutama sekali samada 1MDB telah menghasilkan sebarang keuntungan yang boleh dijadikan wang tunai.
Khabar angin bahawa 1MDB dikaitkan dengan kroni-kroni muda kepada pimpinan BN memerlukan perkiraan penuh bagi dana awam yang begitu besar berjumlah RM39 bilion atau hampir RM1,500 untuk setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di Malaysia. Demi kepentingan nasional dan demi menjulang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, suatu kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti dikeluarkan berkenaan status semasa 1MDB.