Berikutan tindakan kementerian kerajaan tempatan, Perumahan dan Keharmonian Bandar menarik balik surat larangan projek infrastruktur di 89 kawasan parlimen bukan Barisan Nasional, ini merupakan satu kemenangan besar untuk rakyat menjelang tahun baru 2018.
Saya telah membawa tindakan undang-undang menyaman Menteri kementerian KPKT, Tan Sri Noh Bin Omar serta Ketua Pengarah KPKT, Hj Abu Bakar Bin Johar berikutan surat pekeliling kementerian tersebut bertarikh 17hb Mac, 2017 mengeluarkan arahan kepada semua PBT di negara ini di mana semua projek BP.1 tahun ini di semua 89 kawasan parlimen yang dimenangi oleh pihak bukan BARISAN NASIONAL DIBATALKAN, malahan waran peruntukan yang telah dikeluarkan bagi perlaksanaan projek-projek berkenaan adalah DITARIK BALIK.
Susulan dari surat larangan tersebut, saya telah mengeluarkan surat guaman kepada Menteri KPKT Tan Sri Noh Bin Omah menuntut beliau tarik balik surat tersebut serta memohon maaf kepada rakyat kerana tindakan kementerian tersebut dianggap ultra vires, berniat jahat serta menghina sistem demokrasi negara kita. Atas kegagalan Noh Omar untuk memohon maaf, Nga telah memfailkan tindakan saman terhadap Menteri dan Ketua Pengarah KPKT pada bulan April tahun ini.
Oleh sebab tindakan guaman yang saya ambil, kementerian KPKT telah menarik balik surat larangan bertarikh 17/3/17 tersebut dan telah mengambil keputusan segala projek infrastruktur di kawasan parlimen TAIPING boleh diteruskan perlaksanaannya malahan projek baru juga diluluskan pada 26hb April, 2017 termasuk RM300,000 untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur padang awam di Kamunting, RM500,000 untuk membina Dewan Serbaguna di Padang Gajah, RM250,000 untuk menaiktaraf Dewan serbaguna Sungai Kerang, RM900,000 untuk membina semula Tapak Pasar Malam Kamunting serta RM10 juta untuk pembinaan Taman Botani Perak di Taiping.
Selain itu, dalam affidavit Timbalan Ketua Pengarah( Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Mohd Ridzwan Bin Abidin yang mewakili KPKT, Kemenerian juga meluluskan projek-projek infrastruktur di kawasan parlimen Ipoh Timur yang juga dimenangi oleh DAP termasuk RM420,000 untuk membaikpulih longkang di Lengkuk Tambun Permai 2, Ipoh dan RM600,000 untuk membina tandas di Jalan Dato Tahwil Azar, Ipoh.
Sejak pengundi parlimen TAIPING memilih DAP pada tahun 2008, kawasan parlimen TAIPING telah mendapat peruntukan pembangunan setinggi RM847 juta, ini sekaligus membuktikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mengundi parti bukan BN akan hilang peruntukan pembangunan adalah nyata meleset sekali.
Kemenangan sistem Demokrasi
Ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat dan ia merupakan saat-saat manis perjuangan parti DAP dan PAKATAN HARAPAN untuk mempertahankan sistem demokrasi di negara kita. Ini terbukti tindakan Menteri adalah tidak munasabah dan saya berharap TS Noh Omar harus bertaubat dan belajar menghormati demokrasi di mana setiap rakyat berhak untuk memilih mana-mana parti politik termasuk kakitangan kerajaan untuk membentuk kerajaan baru kerana hak untuk mengundi adalah terjamin dibawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Memandangkan pihak kementerian KPKT telah menarik balik surat larangan dan juga meluluskan projek-projek infrastruktur di kawasan parlimen bukan BN, misi ini sudah tercapai maka saya telah membuat keputusan untuk menarik balik saman terhadap Menteri dan KP KPKT dengan kebebasan untuk memfailkan semula. Permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
Saya menggesa semua anggota Menteri Kabinet perlu menghormati sistem demokrasi berparlimen negara ini dan jangan mengulangi kesilapan Kementerian KPKT pada masa yang akan datang. DAP dan Pakatan HARAPAN akan sentiasa memantau dan membela hak rakyat supaya perkhidmatan awam negara ini bersikap professional, adil dan saksama kepada semua rakyat tanpa memilih bulu atau ada mana2 unsur diskriminasi.