Skip to content

Kementerian Pelancongan sokong kewujudan homestay kawasan bandar

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyokong cadangan saya supaya homestay kawasan bandar dapat didaftarkan dengan Kementeriannya apabila garis panduan yang sedia ada dipinda kelak.

Pendirian yang diambil oleh Mohamed Nazri merupakan suatu berita baik untuk operator-operator homestay di kawasan bandar. Ekorannya, saya akan terus berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya input-input yang bernas dapat diberikan untuk menyemak semula perundangan atau garis panduan yang sedia ada bagi mendaftarkan homestay.

Perkara ini dibangkitkan semasa penggulungan Mohamed Nazri bagi pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan terhadap perbahasan ke atas Bajet 2015 di peringkat jawatankuasa dalam Dewan Rakyat, Parlimen semalam.

Beliau menyatakan bahawa homestay wujud dengan banyak di George Town bagai cendawan selepas hujan, khususnya selepas George Town dinobatkan sebagai Tapak Warisan Sedunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

Namun demikian, homestay di kawasan Bandar tidak dapat didaftarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atas sebab bercanggahan dengan konsep homestay yang dipelopori oleh Kementerian tersebut dan juga tidak dilesenkan oleh Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan atas sebab tiada ruang di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hanya menggalakkan kewujudan homestay di luar Bandar. Homestay di kawasan bandar perlu mengemukakan permohonan lesen dengan berlandaskan syarat-syarat yang terpakai ke atas hotel dan melibatkan permohonan tukarguna bangunan yang biasanya melibatkan kos dan perbelanjaan yang tinggi.

Lebih-lebih lagi, terdapat segelintir tuanpunya premis yang tidak membenarkan operator-operator homestay mengemukakan permohonan tukarguna bagi bangunan yang telah disewakan kepada operator-operator tersebut. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan homestay terus wujud sebagai homestay haram di kawasan bandar.

Dengan itu, saya meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya mengkaji semula garis panduan homestay yang sedia ada, supaya homestay yang wujud di kawasan bandar dapat dilesenkan oleh Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan atau didaftarkan dengan Kementerian tersebut.

Dalam jawapannya, Mohamed Nazri menyatakan sokongan Kementeriannya terhadap cadangan tersebut. “Kementerian saya menyokong kerana pada kita homestay, experience kehidupan di Malaysia bukan hanya di luar bandar, malah dalam bandar kita juga sepatutnya ada.”

Beliau menegaskan bahawa jikalau tiada undang-undang sekarang bagi tujuan tersebut, “beritahu kepada kita, kementerian saya akan menyokong supaya dipinda akta berkenaan untuk memberi syarat-syarat bukan sahaja untuk hotel tapi juga untuk homestay.”

Program Homestay Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1995 di Temerloh dengan syarat pelancong perlu tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha homestay yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Akan tetapi, konsep homestay yang wujud di kawasan bandar khususnya George Town amatlah berbeza dengan konsep yang dipelopori oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Sehingga 1 Oktober 2014, terdapat 168 hotel tanpa lesen dikenalpasti di bahagian pulau dan 26 hotel di Seberang Perai.

Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada usaha-usaha pemutihan yang bertujuan untuk memberi masa kepada pengusaha-pengusaha hotel tanpa lesen untuk mendapatkan lesen, dengan memberikan permit sementara setahun mulai 1 November 2014, namun Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan permohonan pengusaha yang menjadikan kediaman mereka sebagai hotel.

Keadaan ini akan menyebabkan pengusaha-pengusaha yang sedia ada menghadapi masalah besar sehingga periuk nasi mereka akan terganggu. Banyak di antara mereka juga mungkin akan disaman atau didakwa ke Mahkamah.

Mengikut cadangan saya, mana-mana premis kediaman yang berbilik tetamu tidak lebih daripada lima bilik boleh dilesenkan atau didaftarkan sebagai homestay dengan syarat pengusaha homestay perlu menghuni dalamnya untuk memastikan keselamatan penghuni-penghuni homestay tidak terjejas.

Manakala premis kediaman yang berbilik tetamu lebih daripada lima jikalau ingin dijadikan sebagai homestay, maka permohonan tukarguna kepada kategori hotel di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 perlu dikemukakan terlebih dahulu dan garis panduan homestay tidak dapat terpakai ke atasnya.