Skip to content

Kementerian Pendidikan perlu memikirkan semula perancangan untuk pembukaan semula sesi persekolahan untuk Sabah

Adalah amat menakutkan selepas berhadapan dengan pandemik Covid-19 untuk satu setengah tahun, Kementerian Pendidikan masih tampil dengan pendekatan ‘satu saiz muat semua’ bagi keputusan pembukaan semula sesi persekolahan kita dengan tidak menghiraukan perbezaan situasi Covid-19 di negeri-negeri yang berbeza di negara ini.

Kementerian Pendidikan membuat pengumunan semalam dimana semua sekolah awam akan mula dibuka semula pada 3 Oktober 2021 seperti yang telah dirancang sebelum ini, kecuali negeri yang berada di fasa pertama bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Adakah Menteri Pendidikan peka berkenaan situasi semasa di Sabah ketika ini sebelum beliau membuat keputusannya di kerusi empuk di Putrajaya? Kami (Sabah) mempunyai rekod lebih dari 2,000 kes harian Covid untuk tempoh 18 hari berturut-turut, dan penggunaan katil bagi hospital besar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau juga telah melebihi 100 peratus, dengan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga dipenuhi pesakit melebih 150 peratus ketika ini!

Sabah mungkin berada di bawa fasa dua PPN ketika ini, tetapi ironinya, berdasarkan kes Covid semasa negeri ini dan kadar penggunaan katil di ICU, dimana dua dari kriteria utama dibawah PPN yang diumumkan pada Jun lepas, jelas memperlihat tidak ada cara Sabah masih boleh diklasifikasikan dibawah fasa dua.

Manakala bagi 3 September sahaja, daripada 2,404 kes positif yang didaftarkan di Sabah, 638 jumlah yang besar bagi kes ini atau 26.5 peratus adalah kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 17 tahun. Ini sangat membimbangkan dimana mereka juga bukan kumpulan yang dilindungi oleh vaksin covid.

Apa yang membuatkan Menteri Pendidikan dengan yakinnya untuk menghantar semula anak-anak kita untuk kembali semula ke sekolah pada 3 Oktober di Sabah? Bolehkan beliau memberi jaminan tentang kesihatan dan keselamatan anak-anak atau pelajar sekolah apabila situasi kes Covid-19 di Sabah masih belum terkawal?

Apa yang lagi membimbangkan ialah, berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada hujung Ogos, Sabah mencatatkan kadar ujian positif Covid-19 tertinggi di Sabah, dengan kadar rata antara 22 Ogos hingga 28 Ogos juga kekal memeranjatkan pada kadar 24.29 peratus, hampir lima kali ganda nilai yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini bermakna, Sabah juga masih kurang ujian, dengan lebih banyak kes di luar sana mungkin telah berlegar tanpa dikesan, dan juga mungkin menyebabkan penyebaran skala besar kalangan masyarakat.

Justeru, adalah jelas tidak bertanggungjawab dan kurang bijak bagi Menteri Pendidikan untuk membuka sekolah di Sabah tanpa membuat penilaian situasi sebenar di Sabah. Keputusan melulu seumpama perlu dihentikan dan dikaji semula demi untuk keselamatan dan kesejahteraan semua anak-anak atau pelajar sekolah di Sabah.