Skip to content

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Perlu Dedahkan Statistik Rasmi Kemasukan Pelajar Universiti Secara Telus

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon yang menyalahkan DAP berkenaan penurunan ketara bilangan pelajar baharu kaum Cina dalam program perubatan di Universiti Malaya (UM). Kenyataan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah sengaja memesongkan tumpuan di mana pihak yang memegang jawatan dalam dasar pendidikan tinggi negara adalah seorang pemimpin UMNO.

1. Datuk Mah Hang Soon dalam kenyataan beliau telah memetik data tidak rasmi daripada portal “Quansheng” untuk menyerang DAP, namun beliau langsung tidak menyebut tentang statistik rasmi daripada KPT. Ia jelas menunjukkan ini adalah cubaan beliau untuk memburukkan imej DAP dengan fitnah dan tohmahan yang tidak berasas.

2. Mah dan MCA jelasnya juga mengikut retorik PAS iaitu “Semua Salah DAP”, di mana mereka langsung tidak dapat membezakan tugas Menteri Pengajian Tinggi dipegang oleh Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir – seorang pemimpin UMNO yang juga bekas Menteri Besar Perak serta mantan “bos” Mah Hang Soon semasa beliau berkhidmat sebagai Exco negeri, dengan tugas menteri-menteri DAP dalam kerajaan.

3. Adakah Mah Hang Soon tidak mempunyai akses kepada Menteri KPT, atau adakah beliau lebih selesa menyerang DAP kerana takut menegur bekas bos sendiri? Sekiranya beliau mempunyai persoalan berkaitan dengan kemasukan pejalar ke IPTA, mengapa beliau tidak mendapatkan statistik rasmai daripada Dato’ Seri Zambry atau KPT untuk menjelaskan secara terbuka mengenai perubahan dalam kriteria kemasukan universiti yang didakwa oleh MCA sendiri?

4. Sekiranya Mah dan MCA benar-benar komited untuk memperjuangkan keadilan dalam kemasukan pelajar ke universiti awam, mereka sepatutnya menumpukan usaha mereka untuk mendesak pihak yang berkuasa, bukannya menjadikan isu pendidikan sebagai isu politik dan menyerang DAP tanpa apa-apa sebab.

5. Reformasi dalam sistem pengambilan pelajar ke IPTA memerlukan keberanian dan keazaman politik yang kuat. KPT perlu mendedahkan secara telus jumlah pelajar yang diterima melalui semua saluran kemasukan — termasuk STPM, Matrikulasi dan Pengambilan Terus (Direct Intake) — berserta pecahan kaum bagi setiap saluran tersebut. Usaha ini penting bagi memastikan peluang pendidikan diberikan secara adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

6. Dalam isu ini, DAP tidak memegang jawatan menteri yang menerajui pendidikan tinggi, namun kami tetap komited memperjuangkan sistem yang adil dan telus melalui saluran Parlimen dan Kabinet. DAP tidak memilih jalan populis dengan hanya membuat bising di media, sebaliknya kami bekerja secara konsisten untuk membawa perubahan dasar demi kepentingan semua rakyat.