Skip to content

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi diseru supaya mengeluarkan garis panduan jelas khususnya bagi tindakan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19

LINDUNG DIRI, LINDUNG SEMUA

Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Pertahanan) menerusi sidang video sebentar tadi, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjadi hujahan utama wakil setiap kementerian dan juga negeri.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menjadi peneraju utama program berkaitan diseru supaya mengeluarkan garis panduan jelas khususnya bagi tindakan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) yang ditubuhkan khas pada peringkat negeri kini.

Di Pulau Pinang, barisan hadapan (frontliners) tetap menjadi keutamaan pihak Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan fasa pertama suntikan dos vaksin dan disusuli dengan kumpulan berisiko. Bersama-sama kita mendoakan segalanya akan berjalan dengan lancar yang mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang secara rasminya akan bermula pada Ahad ini, 28 Februari 2021. Kita perlu bersatu hati menjayakannya demi membentuk imunisasi kelompok di negeri kita.

Pada mesyuarat berkaitan juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa kadar R-naught (R-t) pada peringkat kebangsaan adalah berjumlah 0.94 manakala Pulau Pinang adalah kadar 0.99 sehingga tempoh semalam (25 Februari 2021). Umumnya, laporan jumlah kes harian di Pulau Pinang secara puratanya masih lagi pada kadar tiga angka. Memasuki epid ke-lapan iaitu pada tempoh 21 Februari hingga 27 Februari 2021, sehingga hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa terdapat 14 kluster aktif di negeri ini dan daripada jumlah tersebut, tujuh (7) adalah melibatkan kluster sektor perkilangan.

Justeru, saya menyeru semua rakyat Pulau Pinang supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan bersama-sama kita memutuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri tercinta kita khususnya.

Penang Lawan COVID-19!