Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% ke atas produk kertas A4 bermula 1 Julai 2025 secara diam-diam, tanpa sebarang pengumuman atau notis awal kepada industri mahupun rakyat.
Tindakan mengejut ini bukan sahaja membebankan pengguna akhir, malah telah menyebabkan kekeliruan dalam rantaian bekalan. Banyak syarikat yang telah menandatangani kontrak bekalan kertas A4, termasuk untuk pembekalan kepada jabatan kerajaan, berdasarkan harga tender yang ditetapkan setahun lalu. Kini, mereka terpaksa menanggung kerugian yang tidak dapat dielakkan. Bagaimana mereka mahu terus membekalkan barangan pada harga lama jika kadar cukai dinaikkan secara tiba-tiba?
Persoalannya, mengapa kerajaan tidak membuat sebarang pengumuman sebelum 1 Julai? Mengapa dasar ini dilaksanakan secara senyap dan tersembunyi? Di manakah prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik yang sering dilaungkan oleh kerajaan sendiri?
Saya menegaskan bahawa pegawai-pegawai yang merangka dasar ini tanpa sebarang perundingan atau makluman kepada pihak industri perlu dikenakan tindakan disiplin yang setimpal — termasuk diturunkan pangkat tanpa sebarang notis atau perbincangan — supaya mereka sendiri merasai akibat daripada keputusan mengejut yang mereka laksanakan. Itu barulah adil, ‘a taste of their own medicine’.
Kerajaan seharusnya mengambil tanggungjawab segera dengan menawarkan tempoh peralihan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan bagi memberi ruang kepada industri dan pengguna menyesuaikan diri.
Budaya membuat keputusan secara unilateral dan mengejut seperti ini mesti dihentikan segera. Jika dibiarkan, ia akan terus melemahkan keyakinan pelabur, mencemarkan reputasi negara, dan menjejaskan kestabilan ekonomi.