Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Dato’ Seri Maximus Ongkili mengumumkan semalam bahawa pada 1 Januari 2014, tarif elektrik akan meningkat untuk semua kategori pengguna (domestik, komersil dan industri) di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.
Kenaikan tarif merupakan hadiah Tahun Baru kerajaan buat semua rakyat Malaysia berikutan program rasionalisasi subsidi kerajaan. Menurut Menteri, matlamatnya ialah ke arah penetapan harga gas berasaskan mekanisme harga pasaran.
Saya merasakan kenaikan tarif itu tidak kena masanya dan tidak wajar.
Menteri menyediakan satu jadual berserta butiran bagaimana kenaikan tarif akan memberikan kesan kepada sejumlah 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia. Dikatakan bahawa 70% di kalangan kumpulan pengguna yang menggunakan 300 kWj dan ke bawah tidak akan melihat sebarang perubahan pada jumlah bil elektrik mereka.
Bagaimanapun, hampir 2 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan tetap terkesan dengan purata 14.8% kenaikan. Malah, dikalangan 2 juta pengguna ini, 1.4 juta tidak membayar lebih daripada RM200 dalam bil bulanan mereka sebelum ini. Yang dimaksudkan ialah keluarga biasa kelas pertengahan di bandar ataupun keluarga besar di kawasan luar bandar.
Menteri memberikan beberapa butiran berkenaan pengguna domestik bagi Semenanjung Malaysia (yang merupakan satu langkah kecil ke arah perkongsian maklumat dan ketelusan) namun secara misterinya tertinggal butiran kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna domestik di Sabah dan Labuan. Untuk pengguna komersil dan industri, turut tidak diberikan butiran pecahan. Kami ingin tahu berapa ramai dan ke tahap mana rakyat Sabah akan terkesan dengan kenaikan tarif elektrik. Bagaimana pula dengan perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi Malaysia yang sedang berkembang?
Kementerian mestilah menerbitkan lebih banyak maklumat berserta pecahan.
Kesan terhadap perniagaan kecil
Saya sangat khuatir terhadap kesan kenaikan tarif elektrik ini ke atas perniagaan kecil. Pemilik kedai runcit, kedai kopi, kedai gunting dan pelbagai lagi pelbagai lagi perniagaan kecil terpaksa membayar lebih bagi memastikan kedai dapat terus beroperasi. Begitu juga dengan industri PKS yang terpaksa mengekalkan kos berdaya saing di tengah-tengah persekitaran yang semakin mencabar. Tarif purata kedua-dua pengguna komersil dan industri akan meningkat 16.85%. Lebih membimbangkan, perniagaan kecil dalam kategori komersil atau industri yang tidak menggunakan lebih daripada 200kWj sebulan terpaksa menanggung derita kenaikan 10% pada bil elektrik mereka. Ini amat tidak adil dan tidak wajar.
Sedang kerajaan mendakwa 4.5 juta pengguna domestik tidak akan terkesan dengan kenaikan tarif, tanyakanlah hal itu kepada sesiapa saja di tempat awam dan jawapan yang diperolehi tentu berbeza. Ini kerana apabila tarif komersil dan industri meningkat, kos perniagaan akan turut meningkat dan sudah dijangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan turut meningkat . Sama ada sepaket bihun, hidangan ringkas atau menggunting rambut, harga akan meningkat naik. Setiap orang akan merasakan sengatannya.
Dana Tenaga Boleh Baharu
Bagi tujuan membiayai tenaga boleh baharu (TBB), levi 1% yang dikenakan ke atas 2 juta pengguna domestik pada bil bulanan mereka sejak 1 Disember 2011 kini akan meningkat kepada 1.6% seiring dengan kenaikan tarif. Walaupun kami menyokong usaha murni membawa lebih banyak tenaga boleh baharu, kami tidak boleh menyokong pengutipan dana TBB tambahan ini. Ini kerana setakat ini, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) masih belum menghasilkan keputusan konkrit terhadap dasar mereka yang perancangannya dilihat mempunyai harapan cerah. Gangguan pada mekanisme FiT tidak diperbaiki dan banyak permit RE yang diberikan masih belum beroperasi.
Akhir sekali, kami kekal berwaspada terhadap keinginan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme Imbalance Cost Past Through (ICPT) di sektor tenaga. Perlaksanaan ICPT menjurus kepada peningkatan harga elektrik dan gas di masa depan. Atas nama rasionalisasi subsidi, kerajaan Barisan Nasional meletakkan kesejahteraan rakyat biasa dan perniagaan kecil dalam risiko yang tidak boleh sama sekali diterima.