Saya tidak mempunyai pilihan selain menghubungi Menteri Sumber Manusia M Saravanan secara terus selepas menunggu selama 10 hari sia-sia untuk dia mengambil langkah susulan terhadap cabarannya kepada saya bahawa salah seorang daripada kami akan meletakkan jawatan jika terdapat kelemahan atau tidak di dalam usaha Kementerian Sumber Manusia untuk mengatasi kekurangan pekerja yang teruk. Pada 15 September, saya telah menerima cabaran Menteri Sumber Manusia M. Saravanan yang dikeluarkan pada 13 September melalui The Vibes di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP jika saya tidak dapat menemui kelemahan dalam usaha Kementeriannya untuk mengatasi kekurangan pekerja yang teruk.
Saravanan berkata bahawa dia akan meletak jawatan sebagai Menteri jika terdapat kelemahan ditemui. Ayat yang keluar daripada mulut Saravanan sendiri di dalam laporan berita The Vibes pada 13 September,
“Sekiranya dia (Lim) tidak dapat menemui apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani kekurangan pekerja, dia harus meletakkan jawatan serta-merta sebagai (pengerusi DAP). Jika dia menemui sesuatu yang salah, maka saya yang akan meletakkan jawatan”.
Saya telah mengecam ketidakcekapan Saravanan kerana gagal menjawab atau memberi penjelasan berkenaan kadar kejayaan 12% olehnya yang menyedihkan dalam memastikan pekerja asing yang diluluskan dapat memasuki Malaysia. Perkara ini bukan dibangkitkan oleh saya, tetapi oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), yang menganggarkan hanya 47,000 pekerja asing telah memasuki Malaysia atau 12% daripada 385,000 kelulusan oleh Saravanan sejak Januari 2022 bagi semua sektor industri.
Apa guna Saravanan mendakwa telah meluluskan sehingga 400,000 pekerja asing untuk menyertai tenaga kerja di sini sedangkan mereka tidak boleh masuk? Ini adalah satu lagi kenyataan mendabik dada tetapi kosong oleh seorang Menteri yang tidak cekap yang sepatutnya memastikan bahawa kelulusannya dilaksanakan atau jika tidak apa gunanya kelulusan diberikan. Sebagai tindak balas, M. Saravanan dengan marah mengeluarkan cabaran kepada saya. Tetapi dia telah terus senyap selepas itu.
Sama seperti Saravanan tidak boleh begitu tidak bertanggungjawab untuk lepas tangan daripada krisis kekurangan buruh yang teruk, Saravanan tidak boleh dibiarkan lari daripada cabarannya sendiri kerana kekurangan pekerja asing perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.
MPOA telah menyatakan bahawa industri minyak kelapa sawit memerlukan 120,000 pekerja asing manakala sektor E&E Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera. Kekurangan pekerja yang teruk telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, sarung tangan getah dan industri alat ganti kenderaan sahaja. Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit.