Skip to content

Kenapa utamakan ‘political purging’ dan abaikan kepentingan rakyat, sedangkan calon ketua menteri pun belum selesai?

Susulan dari pengesahan YB Tuan Adly Bin Zahari dalam sidang media Pakatan Harapan Negeri Melaka semalam (3 Mac 2020, 12pm) bahawa jawatan beliau sebagai Ketua Menteri telah dihentikan pada 2 Mac 2020, barisan EXCO termasuk saya telah diberi masa 3 hari untuk memulangkan segala kemudahan EXCO kepada Kerajaan negeri. Saya mematuhi arahan tersebut dan saya telah memulangkan kereta rasmi saya kepada kerajaan negeri pada hari yang sama.

Saya juga telah berpesan dengan anggota Japerun Ayer Keroh supaya menjalankan tugas mereka seperti biasa selepas saya ditamatkan perkhidmatan sebagai EXCO negeri dan pengerusi Japerun kerana peranan dan fungsi Japerun perlu diteruskan supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak diganggu.

Namun pada kira-kira pukul 5 petang semalam (3 Mac 2020), setiausaha Japerun saya telah dimaklum bahawa anggota-anggota Japerun akan ditamatkan kontrak berkuatkuasa 10 Mac 2020, kunci pintu pejabat Japerun akan ditukar dan serahan pejabat akan dilakukan pada 6 Mac 2020. Ini bermaksud segala urusan dan fungsi Japerun akan berhenti bermula 6 Mac 2020.

Saya difahamkan bahawa ini berlaku ke semua Japerun di negeri Melaka kecuali Japerun Paya Rumput, Japerun Rembia, Jeperun Pengkalan Batu dan Japerun Telok Mas.

Ini satu tindakan dan keputusan oleh kerajaan baru yang amat tidak bertanggungjawab kerana fungsi Japerun amat penting. Apabila fungsi Japerun dihentikan, segala urusan kebajikan rakyat, program perkhidmatan yang dilaksanakan oleh Japerun, serta platform perkhidmatan karajaan negeri kepada rakyat akan sukar dijalankan sehingga ada pelantikan baru dilakukan di peringkat Japerun.

Semasa Pakatan Harapan ambi alih kerajaan Negeri Melaka, pertukaran dan pelantikan anggota-anggota Japerun hanya dilakukan pada 1 Jun 2018, iaitu lebih kurang 3 minggu selepas PRU pada 9 Mei 2018. Pertukaran tersebut juga dilakukan selepas perbincangan dengan Penghulu kawasan dan pihak pejabat daerah supaya tiada gangguan atas fungsi dan urusan Japerun dalam tempoh transisi tersebut.

Pada waktu ini, isu calon Ketua Menteri pun belum selesai tetapi ‘political purging’ telah diutamakan dan kepentingan rakyat diabaikan.