Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang membayar RM20 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan apabila kedua-dua pihak berkuasa tempatan MBPP dan MPSP menanggung kos GST bagi pihak rakyat

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Membayar RM20 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan apabila kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menanggung kos GST bagi pihak rakyat. Pada hari terakhir saya sebelum dipaksa keluar oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, saya terkejut apabila Tan Sri Adenan telah mengeluarkan cabaran yang liar dan tidak berasas ke atas saya supaya menghapuskan cukai GST di Pulau Pinang bagi membuktikan dakwaan saya yang DAP akan memansuhkan cukai GST di Sarawak sekiranya DAP menang dalam Pilihan Raya Sarawak pada 7 Mei 2016 ini.

Bagi pihak DAP, saya tidak pernah membuat dakwaan seperti itu. Saya ingin mencabar Tan Sri Adenan untuk menunjukkan bukti bahawa saya pernah berkata bahawa DAP akan memansuhkan GST di Sarawak sekiranya kita menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Sekiranya beliau tidak boleh menunjukkan bukti, Tan Sri Adenan telah menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang yang tidak boleh dipercayai, apabila beliau sanggup menyalahgunakan kuasanya untuk menghalang pemimpin pembangkang dari Semanjung Malaysia untuk memasuki Sarawak dan kini membuat tuduhan palsu.

Saya tidak pernah berkata bahawa DAP akan memansuhkan GST di Sarawak sekiranya DAP menang dalam Pilihan Raya Negeri itu tetapi kita harus menghukum BN dan Tan Sri Adenan kerana membenarkan GST dilaksanakan dan membebankan rakyat. GST adalah sangat kejam kerana mengenakan cukai ke atas orang miskin dan orang kaya bersama, malah Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu membayar GST untuk projek jalan dan kerja- kerja awam.

GST adalah undang-undang persekutuan dan hanya boleh dihapuskan di peringkat Parlimen dan bukannya Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Tan Sri Adenan mesti bertanggungjawab untuk pelaksanaan GST di Sarawak kerana bukan sahaja beliau menyokong tetapi kedua 25 Ahli Parlimen BN di Sarawak turut mengundi undang-undang GST di Parlimen.

Walaupun Kerajaan Negeri tidak boleh memansuhkan GST, Pulau Pinang telah mencuba mengurangkan beban rakyat yang ingin menikmati perkhidmatan PBT seperti tempat letak kereta dan sewa dewan orang ramai dengan membayar GST bagi pihak mereka. Ini telah menyebabkan kedua-dua pihak PBT iaitu MBPP dan MPSP untuk menyediakan tambahan RM20 juta setahun bagi membolehkan pembayaran GST dibuat kepada Kerajaan Persekutuan. Bayaran ini telah menyumbang kepada RM39 bilion bayaran GST yang telah dikutip oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyelamatkan Kerajaan Persekutuan daripada muflis akibat dasar BN yang gagal, pemerintahan dan pengurusan yang salah serta pelbagai skandal kewangan seperti RM50 bilion skandal 1MDB.

Dengan kata lain, rakyat perlu membayar cukai GST untuk tempat letak kereta dan sewa dewan. Namun sebaliknya, kos GST ini adalah ditanggung oleh kedua-dua PBT dengan kos sebanyak RM20 juta setahun ditanggung oleh PBT dan Kerajaan Negeri yang akan dimanfaatkan oleh Kerajaan Persekutuan. Daripada bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Selangor untuk menentang pelaksanaan GST untuk perkhidmatan kerajaan dan projek awam seperti membuat jalan dan longkang, saya kesal apabila Tan Sri Adenan terus menyokong GST.