Perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan akhbar Berita Harian oleh YB Datuk Seri Fadilah Yusof pada 12 Julai 2017 yang menyatakan bahawa telah berlaku double counting adalah bercanggah dengan kenyataan asal beliau bahawa lebihan bayaran sebanyak 400% telah dibuat mengikut kadar Gazetted Scale of Fees oleh Lembaga Jurutera Malaysia. Kenyataan Menteri ini mengelirukan.
Dalam penerangan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun mengeluarkan skop-skop kerja lain untuk menunjukkan bahawa fi bagi perkhidmatan perunding sivil dan struktur tidak terlebih bayar sehingga 400% seperti mana yang didakwa.
Kini, YB Datuk Seri Fadilah Yusof menyatakan bahawa hanya tiga (3) komponen daripada sepuluh (10) komponen dengan jumlah kos RM177.5 juta adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Jurutera Malaysia. Kenyataan Menteri ini juga bercanggah dengan kenyataan akhbar beliau pada 23 Jun 2017 di mana beliau telah mendakwa bahawa RM177.5 juta adalah empat (4) kali ganda lebih tinggi daripada Gazetted Scale of Fees.
Kenyataan Menteri bahawa komponen kajian yang telah dijalankan dalam Kajian Kebolehlaksanaan dibayar sekali lagi semasa dalam Rekabentuk Terperinci adalah tidak benar. Dalam kebanyakan Projek Mega, keperluan untuk menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan tidak boleh diketepikan. Dalam sesuatu Kajian Kebolehlaksanaan beberapa opsyen dikaji. Ini adalah penting untuk memerolehi jajaran dan rekabentuk yang bersesuaian dan menentukan samada sesuatu projek dapat diteruskan. Setelah opsyen yang bersesuaian dipilih, kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan. Oleh yang demikian, kajian-kajian ini perlu dijalankan dan dibayar secara berasingan.
Kerajaan Negeri telah pun memberi penjelasan berulang kali melalui akhbar dan telah menulis kepada pihak Lembaga Jurutera Malaysia pada 23 Jun 2017 untuk memberi penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Setakat ini, Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pertemuan daripada Lembaga Jurutera Malaysia dan sangat mengharapkan kerjasama YB Menteri untuk membolehkan pertemuan ini diadakan dalam masa yang terdekat.