Skip to content

Kenyataan balas Pemuda MCA terhadap Tun Mahathir Mohamad adalah dangkal

Semalam, dalam artikel yang disiarkan dalam portal berita The Malay Mail Online bertajuk “Mahathir: Apa nak bangga jual nasi lemak bawa Uber,” Tun Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa, “Tiada apa yang perlu dibanggakan jika lulusan universiti kini menjual nasi lemak dan memandu Uber sebagai punca rezeki… ia menunjukkan kerajaan gagal menyediakan peluang kerja yang sepadan.”

Kenyataan Tun Mahathir sebenarnya mengkritik kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela kebajikan anak muda Malaysia dan bukannya memperkecilkan anak muda yang pandai mencari jalan punca pendapatan sampingan. Kenyataan beliau merujuk kepada krisis kerjaya yang sedang melanda kebanyakan anak muda kita.

Walaupun anak muda Malaysia bijak atau “resourceful” dalam mencari punca pendapatan, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kebanyak anak muda termasuk graduan tidak dapat mencari pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka dari segi gaji mahupun peluang pekerjaan. Malah, menurut Laporan Tahunan Bank Negera Malaysia yang dikeluarkan pada tahun lepas, kadar pengangguran belia mencecah 10.7 peratus, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional 3.1 peratus.

Naib Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, berkata bahawa Tun Mahathir juga pernah menjual pisang goreng semasa Perang Dunia Kedua. Adakah Nicole ingin mengatakan bahawa keadaan negara sekarang terlalu teruk bagai Perang Dunia Kedua sehingga graduan anak muda terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber?

Nicole kemudiannya menuduh Tun Mahathir mahu graduan menjual badan, atau menjadi pelacur dan terlibat kegiatan rempit sekiranya tidak menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber. Terang sekali Nicole terlepas poin Tun Mahathir.

Adakah universiti kita melatih berjuta-juta anak muda Malaysia selama bertahun-tahun dalam pelbagai jurusan professional sehingga tahap sarjana muda untuk menjadi pemandu kereta? Walaupun tidak salah untuk memilih sedemikian, tapi kita harus peka dan bertanya, adakah mereka memilih jalan tersebut ataupun terpaksa kerana kesempitan hidup dan kekurangan peluang saksama yang berpunca dari polisi kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela kebajikan anak muda Malaysia.

Yang pandai anak muda mencari usaha untuk hidup, yang tak pandai kerajaan Barisan Nasional dalam menangani anak muda.