Pada 11 Mac, saya telah dimaklumkan berkenaan satu poster yang menggunakan gambar saya bersama satu kenyataan palsu telah viral. Saya dengan segera menjelaskan dalam Facebook saya bahawa kenyataan itu bukan kenyataan saya dan ianya tidak benar sama sekali.
Bukit Aman telahpun semalam, mengeluarkan kenyataan media yang memaklumkan bahawa saya akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan dalam poster tersebut bukan kenyataan saya dan adalah palsu.
Saya juga dimaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat tweet saya bertarikh 9 Mac mengenai status Pelan Strategik Kebangsaan Menangani Perkahwinan Bawah Umur dan saya sedia memberi kerjasama penuh kepada polis berkenaan perkara ini juga.
Saya akan hadir di Bukit Aman pada 23 Jun bagi membantu polis dalam siasatan dalam perkara-perkara ini.