Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengubah banyak kerusi majoriti Melayu menjadi kerusi campuran ketika pemerintahan beliau.
Kenyataan ini bukan suatu yang mengejutkan, namun apabila ia diungkapkan oleh seorang Menteri Persekutuan merangkap ahli Majlis Tertinggi Umno yang tanpa rasa malu atau bersalah mengakui bagaimana badan yang sepatutnya bebas dan berkecuali telah disalahgunakan oleh Kerajaan untuk memanipulasi pilihan raya di negara ini, maka implikasinya sangat berat.
SPR tidak bebas dan tidak layak
Sesungguhnya, kenyataan Ismail Sabri ini harus dipandang serius. Meskipun ramai akademik, aktivis NGO dan ahli politik pernah sebelum ini membentangkan bukti mengenai penyelewengan persempadanan kawasan pilihan raya, namun rata-rata semua dakwaan tersebut dinafikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan.
Walau bagaimanapun, pengakuan Ismail Sabri ini menjadi bukti bahawa SPR merupakan alat politik Umno-Barisan Nasional untuk memastikan mereka kekal berkuasa. Oleh kerana itu, tidaklah hairan bahawa Barisan Nasional berjaya memenangi 60 peratus kerusi Parliment walaupun hanya mendapat 48 peratus undi popular dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Ini bermakna bahawa keputusan pilihan raya sekian lama ini sebenarnya tidak sah bukan sahaja dari segi moral, tetapi juga dari segi perundangan. Dalam erti kata lain, Kerajaan Barisan Nasional sebenarnya tidak mewakili rakyat Malaysia dan tidak layak untuk membuat sebarang dasar atas nama kepentingan rakyat, termasuk pelaksanaan cukai GST yang amat membebankan rakyat.
Pada masa yang sama, ini juga bermaksud bahawa SPR tidak layak untuk menguruskan hal ehwal pilihan raya, termasuk proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sedang dilakukan. Justeru, proses ini hendaklah digantung sehingga reformasi menyeluruh dapat dilakukan ke atas SPR, termasuk menjadikannya sebagai institusi yang benar-benar bebas.
Umno memperjuangkan Melayu atau kepentingan diri?
Pengakuan Ismail Sabri ini juga membuktikan bahawa Umno memang tidak pernah berminat untuk meletakkan kepentingan bangsa Melayu sebagai teras perjuangan mereka. Ini kerana mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja, termasuk memecahkan kerusi parlimen majoriti Melayu apabila sentimen pengundi Melayu tidak memihak kepada mereka, sepertimana yang berlaku pada PRU tahun 1999. Jelas, Umno sendiri yang menggadai kepentingan Melayu semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.
Lantaran pendedahan ini, apa kata Perkasa dan Isma? Adakah mereka akan terus mempertahankan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dan Umno sebagai pembela bangsa?
Sebenarnya, sikap Ismail Sabri ini menyerlahkan betapa penyalahgunaan kuasa telah lama berdarah daging dalam Kerajaan Umno-Barisan Nasional. Pada masa yang sama, ia juga mendedahkan kebrobrokan dan keangkuhan pemimpin-pemimpin parti pemerintah yang bukan sahaja mencabuli hak demokrasi rakyat tetapi juga berani menguar-uarkannya tanpa segan silu.