Skip to content

Kenyataan-kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menunjukkan bahawa Menteri-Menteri PN ini tidak layak dan tidak tahu sama sekali atau berpura-pura tidak mengetahui betapa besarnya masalah berkenaan dengan pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen di Malaysia

Pada 16 April 2021, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyatakan bahawa beliau terkejut dan bingung dengan tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur dalam melancarkan portal pekerjaannya sendiri ‘Chakrir Khoj’ untuk memenuhi keperluan warganya di Malaysia.

Saya ingin memberitahu kepada M. Saravanan bahawa beliau harus berasa malu dan bukannya terkejut dan bingung dengan kegagalan kementeriannya dan kementerian dalam negeri dalam menangani isu pekerja asing di Malaysia. Tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh merupakan satu undi tidak percaya terhadap kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini. Ia sudah menjadi pengetahuan umum dan rakyat Malaysia tahu bahawa Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri kita tidak cekap dan tidak berkemampuan dalam menangani isu ini. Ramai yang percaya bahawa Kementerian Dalam Negeri kemunginan besar adalah sebab dan punca masalah ini. Ramai percaya terdapat masalah-masalah yang sengaja diwujudkan untuk memberi manfaat kepada beberapa orang kroni dan orang yang mempunyai kepentingan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin pada 19hb April 2021 menyatakan bahawa hanya seramai 72,324 pendatang asing tanpa dokumen yang telah mendaftar untuk kembali ke negara mereka dan 73,506 orang lagi telah mendaftar untuk bekerja semula secara sah di bawah Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilaksanakan sejak November lalu dan akan berakhir pada bulan Jun 2021. Beliau menyatakan bahawa ‘ramai mempunyai persepsi bahawa begitu ramai (pendatang) yang tidak berdokumen di negara kita tapi apabila kita lakukan program ini, baru kita sedar ia persepsi semata-mata’. Ini satu petikan yang paling tidak masuk akal. Ia menunjukkan bahawa Menteri ini sedang tidur di tempat kerjanya atau berpura-pura tidur di tempat kerjanya.

Kementerian Dalam Negeri mewujudkan satu keadaan yang hampir mustahil bagi pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen untuk mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan kemudian mendakwa terdapat sangat sedikit pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen di negara ini!

Kementerian Dalam Negeri membenarkan hanya 2 kategori pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen yang boleh disahkan.

  1. Majikan dibenarkan untuk mengesahkan pekerja asing yang sudah bekerja dengan mereka.
  2. Pengambilan pekerja baru hanya boleh diambil dari depot-depot imigresen.

Adalah mustahil untuk mengesahkan pekerja-pekerja asing tanpa izin di bawah kategori (i) kerana jika mereka adalah pekerja tanpa izin atau tidak berdokumen bagaimanakah majikan boleh membuktikan pekerja-pekerja ini sudah dan sedang bekerja dengan mereka?

Kementerian Dalam Negeri menghendaki mereka yang berniat menggaji pendatang asing tanpa izin di bawah kategori (ii) untuk membiayai penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin yang ditahan di depot-depot tersebut dengan nisbah satu dengan satu, yang bermaksud bagi pengambilan setiap orang pekerja dari depot-depot ini, majikan perlu membiayai kos penghantaran pulang seorang lagi pendatang asing tanpa izin balik ke negara asal mereka.

Kementerian Dalam Negeri memperburuk keadaan lagi dengan menetapkan bahawa permohonan untuk pengesahan pekerja-pekerja asing ini hanya dapat dilakukan melalui pejabatnya di Putrajaya.

Saya telah menerima banyak aduan bahawa majikan telah mengemukakan permohonan mereka untuk pengesahan pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen tetapi sehingga hari ini mereka masih belum mendapat jawapan dari Kementerian Dalam Negeri. Hakikatnya bukan hanya terdapat sebilangan kecil pekerja asing tanpa izin atau tidak berdokumen di Malaysia tetapi kerana Kementerian Dalam Negeri menjadikannya hampir mustahil untuk mereka disahkan dan bagi mereka yang telah mengemukakan permohonan mereka, Kementerian Dalam Negeri masih belum memproses permohonan-permohonan mereka.

Saya harap Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri bangun dari tidur lena mereka dan menghadapi isu ini dengan penuh dedikasi. Sekiranya mereka tidak cekap dan tidak berkemampuan menyelesaikan isu ini, mereka harus mengundurkan diri secara terhormat.