Saya menzahirkan kekesalan saya terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera yang dalam sebuah video bertajuk “Kenyataan Teresa Kok Melanggari Perlembagaan Persekutuan” kerana kenyataan ini telah salah tafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab.
Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:-
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Tujuan dan niat di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memberi punca kuasa kepada badan legislatif negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-wilayah Persekutan) untuk membuat undang-undang yang mengawal sebaran atau mengembangkan kepercayaan agama lain di kalangan penganut-penganut Islam. Ia harus dibaca bersama Perkara 11(1) di mana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama setiap orang:
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
Jelasnya, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutan langsung tidak berkaitan dengan kenyataan YB Teresa Kok yang hanya menyeru Kerajaan untuk mengkaji semula cadangan Pengsijilan Halal secara wajib bagi semua restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging khinzir atau alcohol. Beliau menegaskan bahawa dasar ini akan menambah beban kepada pengusaha-pengusaha sektor makanan termasuk peniaga restoren kecil Melayu.
Dalam kenyataan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Presma menyatakan bahawa hampir keseluruhan restoran Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal dan mereka menyeru Kerajaan untuk mengadakan sesi libat urus sebelum melaksanakan pengsijilan halal secara wajib kerana permohonan mendapatkan pengesahan halal dan pematuhannya melibatkan kos yang tinggi. Oleh itu, isu pengsijilan halal ini langsung tidak berkenaan dengan perkembangan agama lain di kalangan penganut-penganut Islam.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang turut ‘share’ video tersebut harus mendapatkan nasihat undang-undang yang lebih professional sekiranya belum untuk lebih memahami Perlembagaan Persekutuan sebelum mendakwa mana-mana individu telah melanggari Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya tidak, ia menunjukkan kejahilan undang-undang pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO dan seolah-olah hanya ingin mencari publisiti politik murahan. Saya sebagai seorang pengamal undang-undang sudi memberi nasihat undang-undang secara percuma kepada rakan-rakan Pemuda UMNO sekiranya perlu.
Saya juga menyeru Pemuda UMNO untuk menghormati keputusan Jemaah Menteri yang turut dianggotai oleh Menteri-menteri UMNO di mana Kabinet telah bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Isu Pengsijilan Halal secara wajib ini sepatutnya sudah selesai dan tidak harus dijadikan bahan publisiti murahan oleh Pemuda UMNO. Pemuda UMNO tidak membangkitkan isu ini dalam tempoh kempen PRK DUN Mahkota, Johor dan harus kekal seperti begitu.