Skip to content

KENYATAAN MEDIA ADUN ASTAKA, JASON NG THIEN YEONG PADA 19 MAC 2024

  1. Saya menyeru kerajaan persekutuan supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(AUKU) dimansuhkan dengan kadar segera kerana pindaan AUKU tidak dapat memulihkan autonomi mahasiswa dan kampus serta kebebasan akedemik di universiti.
  2. Walaupun pindaan AUKU yang diluluskan semalam mampu memperkasa autonomi kewangan pelajar, namun pindaan tersebut tidak efektif untuk memulihkan autonomi mahasiswa dan kebebasan akedemik.
  3. Oleh itu, saya menyeru kerajaan persekutuan supaya menghidupkan semula Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU seperti yang dibuat pada tahun 2018 dengan tujuan memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pengajian Tinggi yang baharu.
  4. Dalam pindaan baharu yang dibuat ke atas Seksyen 16B AUKU, tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.
  5. Walaubagaimana pun, menurut subseksyen 2A Seksyen 16b, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang ahli yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor sebagai pengerusi dan pekerja Universiti yang dilantik oleh Lembaga.
  6. Dengan kata lain, pihak universiti masih akan memainkan peranan sebagai seorang pegawai penyiasat, pendakwa dan hakim pada masa yang sama. Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ini adalah tidak adil malah melanggar hak asasi seseorang ke atas perbicaraan yang adil.
  7. Kerajaan patut mencontohi amalan Jawatankuasa Disiplin Badan Peguam Malaysia iaitu dengan melantik seorang individu bebas ke dalam jawatankuasa disiplin. Selain itu, juga harus membenarkan wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar menganggotai Jawatankuasa Tatatertib Pelajar bagi memastikan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dapat diterima oleh semua pihak. Selain itu, kuasa pihak pengurusan universiti juga perlu dialihkan kepada mahasiswa untuk merealisasikan semangat autonomi kampus dan mahasiswa yang sebenar.
  8. Kini, Naib Canselor di universiti awam masih dilantik oleh menteri, dan Naib Canselor yang dilantik mempunyai kuasa yang besar dalam melantik ahli-ahli akademik.
  9. Pelantikan Naib Canselor oleh ahli politik akan menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai ‘White Terror’ terus berleluasa di kampus, di mana staf dan pelajar universiti terpaksa mematuhi kehendak pemerintah. Ketidakpatuhan mereka mungkin menyebabkan mereka akan diambil tindakan lalu mengakibatkan kesekatan minda dan kehilangan kebebasan akademik.
  10. Saya ingin menekankan bahawa hanya dengan pemansuhan AUKU dan digantikan dengan akta pengajian tinggi yang baharu, barulah kebebasan akademik dapat dijamin. Ini juga selari dengan agenda reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  11. Saya juga menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendengar suara aktivis mahasiswa dalam proses pemansuhan AUKU dan melibatkan mereka dalam sesi libat urus demi memastikan kebolehterimaan undang-undang tersebut.