Skip to content

KENYATAAN MEDIA ADUN BALAKONG MENGENAI PILIHANRAYA PBT CETUS 13 MEI

Desakan DAP untuk mengadakan pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah bertujuan memulangkan hak demokrasi kepada Rakyat Malaysia. Saya tidak nampak apa-apa unsur yang akan melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk Bandar dan desa mahupun ia akan mencetuskan pengulangan rusuhan kaum 13 Mei seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pilihanraya PBT merupakan satu-satunya langkah untuk meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan PBT dan hanya dengan adanya pilihanraya PBT, kerajaan tempatan boleh memperbetulkan diri sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembayar cukai. Proses ini juga merupakan antara agenda pendemokrasian rakyat yang sangat penting di arena politik Negara bagi memastikan reformasi di peringkat pemerintahan akar umbi. Saya berasa hairan dan mohon pencerahan daripada mana-mana pihak ke atas isu bagaimana perlaksanaan pilihanraya PBT boleh melebarkan jurang ekonomi di antara penduduk bandar dan desa dan terus mencetuskan rusuhan perkauman.

Desakan DAP untuk memulihkan pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan melalui pilihanraya adalah wajar dan ia harus dilaksanakan dengan adil dan saksama. Tiada mana-mana kaum yang akan dihalang daripada menyertai pilihanraya PBT selain individu yang gagal menepati syarat pilihanraya. DAP bukannya yakin agar akan memenangi semua kerusi yang bakal bertanding tetapi tetap mendesak pemulihan pilihanraya PBT demi pendemokrasian. DAP memperjuangkan demokrasi dan tidak akan menjadi puak ‘kiasu’ yang bererti ‘takut kalah’ seolah-olah mahu terus berkuasa kerana bagi kami, hak demokratik adalah lebih penting dan kami sedia menerima kekalahan sekiranya pengundi menolak kami.

Kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihanraya selain daripada Pilihan Raya Umum menurut Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan dan ia berbunyi :

“Undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang di sebut dalam Fasal (1).”