Skip to content

KENYATAAN MEDIA ADUN SELANGOR KAWASAN BALAKONG PADA 9HB JANUARI 2015

Baru sahaja pulang pagi tadi setelah menyempurnakan misi sumbangan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Kuala Krai pada pagi semalam. Ini merupakan misi saya ke Pantai Timur yang ke 4 mewakili DAP Selangor. Masih jelas dalam ingatan saya keadaan disekitar Pekan Gua Musang semasa rombongan pertama saya pada 28hb Disember 2014. Persekitaran dan keadaan Pekan Gua Musang hari ini tidak banyak berbeza jika berbanding dengan keadaan pada ketika itu. Kerja-kerja pembersihan di pekan yang kecil ini seolah-olah tidak dilaksanakan dengan berkesan dimana saya menganggarkan ia hanya bertambah baik sebanyak 30% sahaja.

Ini jelas menunjukkan kegagalan pihak kerajaan dalam menangani bencana alam. Kerajaan harus mengistiharkan darurat bagi kawasan yang dilanda banjir seperti yang digesakan oleh DAP supaya bantuan dari jentera kerajaan dapat digerakkan dengan sepenuhnya bagi membantu membangunkan semula kawasan terbabit.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak orang yang berasa terkilan apabila DAP menggesa supaya Perdana Menteri mengistiharkan darurat kerana tidak faham akan maksud dan rasional sebenarnya. Darurat yang digesa kali ini bukanlah seperti darurat berunsur politik yang diistiharkan pada tahun 1969. Ia tidak akan menghadkan sesiapa keluar dari rumah dan sebagainya. Darurat yang digesa oleh DAP merupakan darurat bagi membantu menyelesaikan permasalahan dan kesan akibat banjir ini. Ia akan membantu dengan lebih berkesan kerana kerajaan boleh menggerakkan keseluruhan jentera kerajaan ke kawasan terlibat termasuk 150 000 orang anggota tentera dan 100 000 orang anggota polis selain Pasukan Bomba dengan lebih mudah.

Pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa penggal persekolahan tahun 2015 akan ditangguh ke 12hb Januari 2015 supaya mangsa banjir mempunyai masa yang lebih mencukupi untuk membuat persediaan. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan kita tidak prihatin dan hanya membuat penangguhan demi pengumuman. Pengumuman tersebut di buat demi dinampakkan berbuat sesuatu. Pengumuman tersebut dibuat tanpa peninjauan yang teliti ke kawasan-kawasan yang terlibat. Contohnya, di Kampung Guchil, Kuala Krai. Rombongan saya yang kedua ke Kuala Krai telah melawat kampung tersebut dan mengagihkan sumbangan kemanusiaan di situ. Saya berpandangan bahawa sekolah di kampung tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil tidak dapat digunakan untuk penggal persekolahan baru pada 12hb Januari 2015 dengan keadaan kampung yang begitu teruk. Masih terdapat lebih kurang 180 orang mangsa dari 20 keluarga yang terpaksa berkumpul disana akibat rumah mereka telah hanyut.

Walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan supaya murid-murid akan belajar di sekolah yang berdekatan sekiranya sekolah mereka belum bersedia, pertanyaannya ialah adakah ia satu cadangan yang wajar? Bayangkanlah, berapa orang ibu bapa mampu menghantar anak mereka ke sekolah berdekatan jika bukan yang lebih jauh ketika dalam keadaan kehilangan rumah masing-masing?

Banyak lagi perlu dilakukan untuk memulihkan kegemilangan sebelum ini. Di manakah kerajaan kita? Apakah yang telah kerajaan lakukan? Adakah apa yang dilakukan oleh kerajaan sepanjang ini mencukupi? Adakah pengumuman peruntukkan RM500 juta oleh Perdana Menteri mencukupi? Akhir sekali, apakah perancangan kerajaan dalam misi pembangunan dan pembinaan semula kawasan bencana walaupun misi bantuan telah gagal?