Skip to content

KENYATAAN MEDIA AHLI DEWAN NEGERI SELANGOR KAWASAN BALAKONG MEMBIDAS KENYATAAN ISMAIL SABRI YAAKOB MEMBOIKOT PENIAGA CINA

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru pengguna kaum Melayu memboikot peniaga Cina untuk memberi tekanan supaya harga barang di pasaran jatuh jelas menjatuhkan piawai menteri Negara. Kenyataan itu langsung tidak masuk akal dan ia menunjukkan paiwaian menteri tersebut yang begitu rendah dan turut menunjukkan bahawa beliau tidak memahami erti sebenarnya perniagaan.

“Ismail mengatakan bahawa harga barangan sepatutnya turun berikutan penurunan harga minyak dan pengguna tidak harus bergantung kepada kerajaan sahaja untuk turunkan harga barangan. Saya berpandangan bahawa kenyataan Ismail jelas membuktikan bahawa beliau tidak layak menjadi menteri kerana tidak memahami maksud sebenar perniagaan. Dia seolah-olah cuba memesongkan perhatian orang ramai kerana kegagalan pihak kerajaan meringankan beban pengguna dengan menyalahkan peniaga-peniaga,”Ng berkata.

Ng menjelaskan bahawa harga barangan tidak turun disebabkan oleh beberapa unsur termasuk penyusutan nilai Ringgit Malaysia yang kini merekodkan nilai terendah sejak tahun 2008. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan menangani impak daripada penyusutan nilai tersebut dan kesan buruk yang bakal timbul selepas perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1hb April 2015 nanti.

“Kenyataan Ismail tidak bertanggungjawab serta berunsur perkauman. Ia akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk Negara kita,” Ng bertambah dan menegaskan bahawa Ismail harus memohon maaf kepada seluruh Rakyat Malaysia ke atas kenyataan beliau.

Di samping itu, Ng turut menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup kerana mempertahankan Ismail dengan mengatakan Menteri yang memegang portfolio perpaduan itu gagal melaksanakan amanahnya sebagai seorang menteri yang seharusnya bukan sahaja memastikan perpaduan malah sepatutnya meningkatkan perpaduan masyarakat. “Saya kecewa dengan Ismail sebagai menteri berpiawaian rendah dan sedih sebab Negara kita mempunyai seorang ‘Menteri Perpaduan’ yang menyokong kenyataan berunsur perkauman itu,” kata Ng.