Skip to content

Kenyataan media ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 19/2/2025

Saya menyambut baik kesedaran presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tentang kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Namun, apa gunanya bercakap soal martabat bahasa jika pemimpinnya sendiri gagal menggunakannya dengan betul?

Dalam perbahasan di parlimen semalam, Hadi Awang dengan selamba berkata, “dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja”. Sejak bila manusia dikira menggunakan penjodoh bilangan ‘ekor’? Ini asas bahasa Melayu sekolah tadika — ‘orang’ untuk manusia, ‘ekor’ untuk binatang. Adakah Hadi Awang ponteng kelas tatabahasa sejak kecil, atau sengaja memilih perkataan itu untuk menghina?

Jika ini satu kesilapan, ia sangat memalukan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan bahasa Melayu. Jika sengaja, maka ia lebih serius — bukan sahaja mencerminkan kejahilan dalam bahasa, tetapi juga sikap angkuh dan rasis yang tidak sepatutnya wujud dalam Dewan Rakyat.

Persoalannya, adakah PAS bersetuju dengan kenyataan presiden mereka? Adakah ini tahap bahasa dan adab yang diajarkan kepada penyokong mereka?

Sebagai ketua sebuah parti politik besar, Hadi Awang sepatutnya menjadi contoh yang baik, bukan menjadikan parlimen sebagai medan untuk mencerca kaum lain. Jika benar mahu memperjuangkan bahasa Melayu, mulakan dengan menggunakannya dengan betul dan penuh hormat.