Skip to content

Kenyataan media Ahli Parlimen Segambut pada 26-1-2015

Saya telah membaca kenyaatan media Setiausaha Agung PAS Dato’ Mustapa Ali dan Presiden PAS Tuan Guru Hadi Awang mengenai pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan amat berasa terkilan dengan nada mereka.

DAP sejak 1966 sentiasa mencuba sedaya upaya untuk menjuarai demokrasi, keadilan dan kesaksamaan untuk semua; dan kami akan terus berusaha untuk mencapai cita-cita sebuah negara yang adil, demokratik dan makmur, tanpa mengira siapa sahaja yang mendapat manfaat daripada perjuangan tersebut, biar apa pun kata orang.

Sekiranya kesungguhan dan keazaman terhadap demokrasi dan keadilan untuk semua orang ini dikira angkuh, makan saya harus meminta maaf kerana DAP akan terus mempunyai keazaman dan kesungguhan sedemikian.

Suka saya ingatkan kedua pemimpin PAS tersebut bahawa Dasar Bersama Pakatan Rakyat menyatakan dengan jelas komitmen untuk memperkukuh demokrasi kerajaan tempatan selain memperkemas kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian serta menjamin ketelusan di setiap peringkat. Ini telah dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama pada tahun 2009 lagi. Saya yakin isi kandungan dokumen ini belum lagi dipinda [1].

Jika bukan melalui pelaksanaan pilihanraya PBT, apa lagi cara yang terbaik untuk memastikan dasar pendemokrasian tadi dilaksanakan? Lebih menarik lagi, janji pilihanraya kerajaan tempatan bukan sahaja telah ditimbulkan di Pulau Pinang tanpa bantahan wakil rakyat PAS dahulu, tetapi juga turut termaktub di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada pilihanraya umum yang lalu.

Bagaimana 15 ADUN PAS Selangor (termasuk dua yang kini digantung) boleh menyedari dan bersetuju dengan manifesto pilihanraya kerajaan tempatan, tetapi PAS pusat pula sebaliknya?

Dalam keadaan tanpa pertelingkahan dan provokasi, saya runsing melihat tindak-tanduk dan sikap yang diambil oleh beberapa ahli PAS yang menimbulkan fitnah mengenai janji pelaksanaan pilihanraya PBT dan persoalan pengulangan rusuhan kaum 13 Mei. Saya juga teringin mahu tahu apa sebenarnya motif dan tujuan di sebalik serangan-serangan yang tidak semena-mena daripada segelintir pemimpin PAS ini.

Saya dengan rendah hati ingin menyeru supaya para pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat untuk berhenti menyerang sesama sendiri di saat semua mata tertumpu kepada kita dan mengukur prestasi Pakatan Rakyat di saat kita sudah hampir separuh penggal, dan pilihanraya barangkali dua tahun sahaja lagi.

Pergaduhan rumah tangga ini mesti dihentikan segera. Tidak patut lagi berbalas-balas kenyataan di mata khalayak. Malu orang tengok. Sebarang perselisihan faham boleh dibincangkan secara matang dan secara tertutup, dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negara; dan bukan kepentingan peribadi dan parti masing-masing.

1 (Pakatan Rakyat Common Policy Manifesto 2009 – B(vi): Strengthen local government democracy and democratically enhance the competency and effectiveness of the delivery system and guarantee transparency at all levels. http://dapmalaysia.org/repository/The_Policies_of_Pakatan_Rakyat-EN.pdf)