Skip to content

Kenyataan media ahli parlimen Segambut pada hari Sabtu 7 Feb 2015

Apa kena mengena serangan terorisme kumpulan IS dengan seruan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob supaya pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina?

Nampaknya trend mengarut menteri Kabinet telah merebak dan menjangkiti Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein pula.

Apa motif Hishammuddin berkata demikian? Adakah beliau teringin mahu melihat seorang peniaga Cina dibakar hidup-hidup sepertimana yang dilakukan IS ke atas juruterbang Jordan baru beliau akan bertindak mengecam kenyataan perkauman Ismail Sabri?

Sewajarnya sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau patut lebih bijak dan menggesa supaya proses undang-undang dihormati dan Ismail Sabri diberikan peluang untuk memberi kenyataan kepada polis supaya kebenaran dapat ditegakkan.

Adalah penting bagi siasatan dimulakan segera, dengan kenyataan Ismail mengenai saranannya di Facebook supaya peniaga Cina diboikot oleh pengguna Melayu itu diperjelaskan kepada pihak polis. Ini kerana Pejabat Perdana Menteri bukanlah badan pemutus yang berhak memberi interpretasi kepada kenyataan perkauman Ismail itu.

Sepatutnya Ismail dibersihkan oleh Mahkamah, sekiranya benar dakwaannya bahawa kenyataan Facebook terbabit ditujukan kepada semua peniaga, dan bukan spesifik terhadap satu kaum sahaja.

Saya yakin rakyat Malaysia yang rasional dan berakal waras telah membaca kenyataan Ismail dan telah mempunyai kefahaman sendiri. Namun sekiranya beliau yakin beliau di pihak yang benar, tiada salahnya untuk beliau segera memberikan kenyataan kepada pihak polis supaya kertas siasatan dapat segera disiapkan.

Jika tidak, malulah Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang gigih menunjukkan kerajinannya di twitter dan menggesa supaya siasatan dilakukan ke atas Ismail tempoh hari.

Hishammuddin pula sewajarnya menggalakkan supaya proses undang-undang dituruti dan bukannya memberikan perbandingan merepek seperti yang dilakukannya hari ini.