Skip to content

Kenyataan Media dan Laporan Polis oleh Edry Faizal, Ahli Dewan Negeri Kawasan Dusun Tua merangkap Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan di Kuala Lumpur Dan Mencabar Penfitnah Untuk Tampil Mengulang Kenyataannya di Media

Satu laporan polis telah dibuat ke atas satu mesej yang telah tular di whatsapp menfitnah mendakwa Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempunyai ‘agenda anti Melayu, anti Islam, pro-Komunis dan pro-Zionis’. Laporan polis juga dibuat ke atas satu pautan yang disertakan bersama mesej tular itu. Pautan itu beralamatkan laman sesawang https://www.thethirdforce.net/pendedahan-panas-tony-pua-lim-guan-eng-dan-agenda-anti-islam-anti-bahasa-melayu-pro-komunis-dan-pro-zionis-dap/

Pautan berkenaan membawa kepada satu pos panjang bertajuk ‘PENDEDAHAN PENUH: TONY PUA, LIM GUAN ENG DAN AGENDA ANTI-ISLAM, ANTI-BAHASA MELAYU, PRO-KOMUNIS DAN PRO-ZIONIS DAP’ bertarikh 03 Februari 2019.

Pos berkenaan telah melempar pelbagai fitnah dan tuduhan palsu terhadap DAP serta pemimpin-pemimpin DAP, antaranya:

  1. Ada ada beberapa individu di dalam DAP yang telah dilatih oleh Israel;
  2. DAP mahu merampas tanah orang-orang Melayu;
  3. DAP ada terlibat dengan usaha untuk mengkristiankan orang-orang Melayu;
  4. DAP diajar oleh Israel untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan BN;
  5. Wakil rakyat DAP menghina agama Islam;
  6. DAP mahu menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia;
  7. DAP mahu mengharamkan azan di Pulau Pinang;
  8. DAP mahu menghapuskan MARA;
  9. DAP mahu mengkhaskan KPN dan Panglima Angkatan Tentera untuk orang Cina; dan
  10. DAP tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Semua ini kononnya telah ‘didedahkan’ oleh seorang individu bernama Mohamad Razali Bin Abdul Rahman. Laman sesawang tersebut telah disiarkan atau dimuatnaik oleh Raggie Jessy, iaitu individu bernama Raggie Jessy Rithaudeen yang merupakan pengendali laman sesawang The Third Force berkenaan.

Laporan polis dibuat bertujuan supaya siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu berniat jahat itu.

Sekiranya individu bernama Mohamad Razali Bin Abdul Rahman ini benar-benar wujud dan bercakap bersandarkan fakta, saya mengambil kesempatan ini mencabarnya untuk keluar dari persembunyian dan membuat laporan polis terhadap setiap dakwaannya itu. Ini kerana agenda-agenda yang dia sebutkan itu bertaraf pengkhianatan terhadap Raja dan Negara dan sepatutnya dia melaporkannya kepada polis. Dan jika apa yang dikatakannya benar sudah tentu pihak berkuasa akan bertindak.

Saya juga mencabarnya untuk membuat satu sidang media yang mana dia perlu hurai dan kupaskan satu per satu dakwaannya di hadapan lensa-lensa wartawan. Inilah yang sepatutnya dia lakukan atas semangat ‘berani kerana benar’ dan bukannya baling batu tapi sembunyi tangan di dalam seluar. Jika tidak, kita boleh terus simpulkan dakwaan-dakwaannya itu tidak lebih sekadar dongengan dan omong kosong.