1. DAP Pahang menjunjung kasih Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-4, Dewan Negeri Pahang Ke-15, pada 18hb April 2025.
2. DAP Pahang menyokong sepenuhnya bahawa hal ehwal dalam pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkenaan.
3. Tidak dinafikan bahawa terdapat pekebun-pekebun mengusahakan tanah di kawasan Raub tanpa kebenaran sejak beberapa dekad yang lalu, namun industri durian Musang King di Raub telah berkembang menjadi satu jenama yang dikenali di peringkat antarabangsa. Para pekebun durian amat berhasrat untuk memberi kerjasama kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang bagi bersama-sama membangunkan industri durian ini ke tahap yang lebih tinggi dan turut menjana ekonomi negeri.
4. DAP Pahang bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan antara Kerajaan Negeri dan para pekebun bagi membuka ruang rundingan yang konstruktif demi mencari jalan penyelesaian yang baik secara harmoni bagi meningkatkan hasil kepada Kerajaan Negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak.