Skip to content

KENYATAAN MEDIA DYANA SOFYA PADA 11 DISEMBER 2014

Berikutan tindakan disiplin oleh Universiti Malaya (UM), Fahmi Zainol, iaitu ketua UM8, telah digantung pelajaran selama dua semester di samping didenda RM600 manakala Safwan Shamsuddin digantung satu semester dan didenda RM300 berserta amaran. Mahasiswa UM8 yang lain telah diberi amaran dan denda, kecuali Abraham Au yang berjaya menggugurkan dakwaan terhadapnya.

Saya mengecam hukuman yang dijatuhkan ke atas UM8 ini kerana tidak wajar dan jelas merupakan cubaan untuk menindas mahasiswa di negara kita.

Dua bulan lalu, UM8 telah menganjurkan satu perhimpunan dengan menjemput Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia untuk berucap di hadapan sekumpulan mahasiswa dan orang awam.

Adakah pihak pentadbiran universiti tidak memahami bahawa jawatan Ketua Pembangkang itu merupakan sebahagian daripada sistem Parlimen negara? Dalam pada itu, Dato’ Seri Anwar merupakan pemimpin yang dipilih rakyat dan bukan seorang penjenayah. Malah, beliau seorang bekas pelajar UM sendiri.

Universiti Malaya sebagai universiti terutama di Malaysia seharusnya menunjukkan contoh yang baik dan tidak menghina pelajar sendiri seolah-olah mereka tidak tahu membuat penilaian dengan akal sendiri. Menara gading sepatutnya menjadi pusat ilmu yang menghasil pemimpin yang mampu berfikir, namun bagaimanakah matlamat ini akan dicapai sekiranya kebebasan mahasiswa disekat dengan sedemikian rupa?

Pemomokan pemimpin-pemimpin pembangkang adalah tindakan tidak matang yang menghina sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Di negara-negara yang turut melaksanakan sistem Westminister, jawatan Ketua Pembangkang adalah jawatan rasmi yang dilihat sebagai alternatif kepada jawatan Perdana Menteri. Oleh itu, penghormatan yang wajar harus diberi.

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang dan Selangor, pembangkang bukan sahaja diiktiraf, malah diberi peruntukan tahunan untuk membantu rakyat, namun disia-siakan kerana wakil-wakil rakyat BN enggan menggunakan peruntukan tersebut. Malah di Selangor, Ketua Pembangkang diberikan elaun tambahan di samping kereta rasmi kerajaan. Namun begitu, pemimpin-pemimpin kerajaan negeri di negeri-negeri tersebut masih disekat daripada menghadiri apa-apa program di sekolah atau universiti dalam negeri mereka.

Malangnya, pengamalan dwi-standard sudah menjadi kebiasaan bagi kerajaan BN. Sementara menteri-menteri kerajaan persekutuan dan pemimpin-pemimpin parti pemerintah diberi layanan VVIP ketika mengunjungi universiti dan sekolah, mahasiswa yang menjemput Ketua Pembangkang pula dikenakan hukuman.

Universiti Malaya sepatutnya bangga kerana mempunyai mahasiswa yang berfikiran terbuka dan berani melibatkan diri dengan aktif berkenaan isu semasa serta menyuarakan pendapat mereka tidak kira sama ada menyokong kerajaan ataupun pembangkang. Pentadbiran universiti seharusnya tidak khuatir dengan kebebasan mahasiswa selagi tindakan mereka tidak melampau dan menjejaskan keamanan.

Oleh itu, sekiranya UM benar-benar serius dalam pemerkasaan mahasiswa mereka sendiri, hukuman ke atas UM8 harus ditarik balik dengan segera.