Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Batu Kawan sebulat suara meluluskan usul dengan menyeru pihak kerajaan, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh anggota masyarakat untuk bersama-sama menangani isu pengibaran Jalur Gemilang menerusi pendekatan yang relevan dan sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menonjolkan elemen perpaduan serta cintakan negara terutama dalam menyemarakkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia berdaulat.
DAP Batu Kawan memandang serius kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul sebagai manifestasi jati diri rakyat Malaysia yang merdeka dan mempunyai semangat patriotisme atau dalam erti kata lain rasa kecintaan terhadap negara.
Walau bagaimanapun, DAP Batu Kawan berasa kesal apabila insiden mengibar Jalur Gemilang dengan cara yang tidak berpandukan garis panduan tepat telah dipermainkan untuk tujuan politik yang mampu membawa kesan negatif kepada masyarakat umum khususnya.
DAP Batu Kawan berpandangan bahawa kita sebenarnya boleh memilih pendekatan untuk mengatasi isu sedemikian dengan cara yang lebih humanistik dan keperimanusiaan. Misalnya, sesiapa atau mana-mana pihak yang melihat kejadian sedemikian berlaku, boleh memilih untuk memberi nasihat dan peringatan kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera bagi membetulkannya dapat diambil.
Sebaliknya, apa yang kita saksikan kini adalah pihak tertentu akan menangkap gambar dan mengviralkan di platform media sosial. Tindakan sedemikian telah menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ahli-ahli politik dan orang awam membuat laporan polis supaya pendakwaan dilakukan atas pihak yang salah. Umumnya, tindakan sedimikian sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya dalam memupuk perpaduan negara serta kalangan rakyatnya.
DAP Batu Kawan berpandangan bahawa pendekatan memberi nasihat dan peringatan bersesuaian bakal menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara yang lebih harmoni serta selari dengan semangat Malaysia Madani yang ingin memupuk semangat insaniah dalam masyarakat Malaysia kita.