Saya mengalu-alukan keputusan pengumuman kerajaan pusat untuk menangguhkan Program Latihan Khidmat Negera (PLKN) bagi tempoh setahun demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan pusat.
Pada masa yang sama, saya turut merasakan ini merupakan suatu masa yang paling sesuai untuk mengkaji semula keperluan PLKN, sama ada ia wajar diteruskan ataupun terus dihentikan. Ini kerana penangguhan PLKN untuk sessi tahun 2015 telah menunjukkan bahawa pihak kerajaan sendiri pun berpendapat bahawa program tersebut sebenarnya boleh dihentikan atau dimansuhkan demi menjimatkan perbelanjaan sejumlah RM400 juta.
Keputusan untuk menangguhkan PLKN selama setahun telah membuktikan bahawa kritikan dan persoalan pimpinan Pakatan Rakyat selama ini terhadap PLKN yang kelihatan membazir sumber kerajaan adalah benar dan tepat. Cadangan menghentikan PLKN oleh Pakatan Rakyat sebelum ini sepatutnya diterima oleh pihak kerajaan dengan hati yang terbuka.
Selama ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM550 juta sehingga RM650 juta setiap tahun untuk menampung perbelanjaan PLKN. Walaupun program ini melibatkan perbelanjaan yang amat besar, namun hasilnya tidak begitu baik.
Pihak Kerajaan Pusat wajar mengkaji untuk tidak meneruskan PLKN dan menggantikannya dengan aktiviti ko-kurikorum atau aktiviti badan beruniform yang sedia ada di semua sekolah. Ini akan dapat mengurangkan kos dan membolehkan kerajaan pusat untuk memberi lebih tumpuan kepada program yang menjaga kebajikan rakyat.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan pusat haruslah memastikan kebajikan semua pegawai atau kakitangan di PLKN terbela dan diberi tugas yang berkaitan di tempat atau bidang yang bersesuaian.