Skip to content

Kenyataan Media oleh ADUN Pasir Pinji pada 28hb Jan 2015

Di atas usaha gigih pihak pejabat ADUN Pasir Pinji Howard Lee Chuan How, suatu lawatan rasmi bersama dengan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Tuan Mohd Zakuan Zakaria ke Pasar Pasir Pinji telah diadakan pada pagi hari ini.

Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membincangkan cadangan penduduk dan peniaga pasar Pasir Pinji, dari segi kebolehlaksanaan, penjujukan rancangan, penempatan sementara, dan lain-lain isu berkaitan. Pihak pejabat ADUN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SU MBI kerana sudi bersama melawat dan mengembangkan agenda penaikan taraf Pasar Pasir Pinji.

Howard, yang juga merupakan ketua Biro Dasar Awam DAP PERAK, apabila diminta memberi komen berkata,” Perjumpaan dewan bandar (town hall meeting) merupakan sesuatu kaedah penglibatan awam yang kerap dijalankan oleh kebanyakan PBT-PBT di negara maju mahupun membangun, bagi tujuan memperolehi dan memahami permasalahan dan perasaan rakyat setempat.

“Saya mencadangkan suatu perjumpaan dewan bandar penglibatan awam yang bersifat jemputan terbuka (open invitation) bagi projek penaiktarafan pasar kami. Malah, saya berpendapat tibalah masanya untuk kerajaan negeri yang buat masa ini, adalah pihak berkuasa kepada PBT, untuk memerintahkan supaya kaedah ini dilaksanakan oleh kesemua PBT di Perak, bagi membincangkan apa jua topik berkenaan dengan bidang kerja PBT. Saya menyarankan kepada EXCO berkenaan untuk membuktikan kerajaan negeri benar benar prihatin dan rela mendengar masalah rakyat, khususnya warga Ipoh.”

Howard yang memegang jawatan Setiausaha Negeri bagi sayap Pemuda DAP Perak juga menyatakan bahawa disamping penguatkuasaan dan peningktan kesedaran sivik di kalangan warga Ipoh, kerja asas PBT seperti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tidak boleh diabai.

Masalah seperti sampah sarap, dan longkang sumbat di serantau Ipoh adalah punca utama wabak denggi yang amat ketara buat waktu kini, dan kebayakan warga Ipoh berpendapat bahawa prestasi MBI dalam bidang ini amat mengecewakan.

Howard menekankan bahawa kewujudan sesebuah landasan bersuara bagi warga Ipoh seperti perjumpaan dewan bandar adalah suatu langkah yang amat diperlukan demi memartabatkan demokrasi, dan juga supaya MBI dapat mendengar suara akar umbi, dan mengetahui keadaan sebenar dari sudut pandangan penduduk.

Langkah ini akan meningkatkan akauntabiliti semua pihak berkenaan, malah ia juga dapat berfungsi sebagai landasan komunikasi oleh PBT kepada rakyatnya. Perjumpaan dewan bandar yang berkerapan tetap adalah sesuatu situasi menang-menang untuk semua pihak.