Skip to content

Kenyataan media oleh Ahli Parlimen PJ Selatan, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Parlimen Segambut pada 8 Julai 2015

Sesuatu pasukan penyiasat semestinya bukan sahaja bebas tetapi mesti diyakini bebas oleh rakyat jelata. Lebih lebih lagi apabila yang disiasat adalah pembesar negara dan kesnya melibatkan jumlah ribuan juta.

Kemampuan Pasukan Siasatan Khas yang ingin menyiasat dakwaan laporan akhbar The Wall Street Journal, mengenai aliran wang syarikat bermasalah milik negara, 1MDB yang didakwa terus masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sewajarnya dicurigai.

Ini kerana empat orang Tan Sri yang mengetuai siasatan ini adalah merupakan ‘pegawai bawahan’ kepada pihak yang sedang mereka siasat, ‘ketua’ mereka, ia itu Perdana Menteri.

Justeru, kemampuan keempat-empat Tan Sri tersebut; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk menjalankan siasatan secara bebas wajar dipersoalkan.

Apatah lagi dalam keadaan Najib Razak masih belum direhatkan sebagai Perdana Menteri dan masih menjalankan tugas-tugas kerajaan termasuklah sebagai Menteri Kewangan.

Pendedahan demi pendedahan oleh WSJ mendesak supaya negara menyiasat dakwaan-dakwaan berat tersebut secara bebas dan telus, sesuai dengan standard antarabangsa.

Kami percaya, demi prinsip ketelusan dan kebebasan serta demi menjaga nama baik Perdana Menteri, keempat-empat Tan Sri ini tidak mempunyai sebarang bantahan untuk membenarkan individu lain menggantikan tempat mereka dalam pasukan khas terbabit.

Kami juga percaya keempat-empat Tan Sri ini tidak akan ada masalah untuk membenarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja mengambil alih siasatan ini.

Sekiranya Pasukan Siasatan Khas ini dikekalkan, kami pasti rakyat Malaysia akan merasa sukar untuk menerima hasil siasatannya, lebih lebih lagi sekiranya ia membebaskan Perdana Menteri daripada sebarang pertuduhan salah laku. Ini adalah kerana penyiasatnya adalah kawan-kawan serta pegawai bawahan Najib Razak sendiri.