Skip to content

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA PUBLISITI DAPSY PERAK MERANGKAP ADUN ASTAKA PERAK YB JASON NG THIEN YEONG PADA 11 MAC 2024

  1. Saya membantah keras kenyataan Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO YB Dr Muhammad Akmal Salleh berkenaan saranan mereka untuk intergrasi aliran pendidikan kebangsaan dan vernacular. Malah saya berpendapat bahawa sekolah vernakular bukanlah penghalang kepada perpaduan nasional tetapi amalan budaya politik yang ekstrem sebaliknya merupakan punca kepada ketegangan hubungan antara kaum yang berbeza.
  2. Sejarah telah membuktikan keamanan dan kestabilan negara berbilang kaum bergantung kepada semangat saling menghormati dan bertoleransi dan bukannya melalui dasar-dasar yang menindas budaya dan bahasa kaum lain ataupun dengan cuba mengamalkan dasar asimilasi yang menekankan ‘Satu Bahasa, Satu Budaya’.
  3. Sebagai contoh, sebuah negara jiran Malaysia yang secara keras mula menutup sekolah-sekolah Cina di negara itu sejak tahun 1958 sehingga tahun 1966 di mana semua sekolah Cina di negara tersebut ditutup sepenuhnya, masih gagal menyelesaikan masalah perkauman sehingga mencetuskan rusuhan kaum yang serius pada tahun 1998. Ini membuktikan bahawa pendekatan itu bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah perkauman, tetapi sebaliknya mencetuskan perasaan permusuhan antara etnik.
  4. Masyarakat pelbagai etnik Malaysia yang hidup secara aman dan damai selama ini dengan menjunjung semangat saling hormat-menghormati dan bertoleransi telahpun menjadi teladan yang baik kepada masyarakat antarabangsa. Amalan kepelbagaian budaya dan keupayaan rakyat kita untuk menguasai pelbagai bahasa juga telah menjadi salah satu kekuatan negara kita.
  5. Kebelakangan beberapa tahun ini, jumlah pelajar bukan Cina di sekolah Cina yang meningkat setiap tahun menunjukkan bahawa sekolah vernakular bukanlah penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya membantu mengukuhkan keunikan dan kekuatan negara kita serta membolehkan pelajar dari pelbagai latar belakang belajar dengan etnik yang berbeza. Merujuk kepada statistik, jumlah pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh negara mencapai hampir 101,000 orang pada tahun 2020 (19.75% daripada jumlah pelajar SJKC), manakala peratusan pelajar bukan Cina di SJKC Sarawak turut meningkat hingga 36.02% pada tahun 2022, antaranya 5,096 pelajar adalah pelajar Muslim atau bersamaan dengan 8.58%. Statistik tersebut membuktikan bahawa pendidikan vernakular telah diterima oleh golongan pelbagai etnik dan ramai ibu bapa bukan Cina turut menerima bahawa pendidikan sekolah vernacular adalah berkualiti dan berdaya saing, dengan yakinnya menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular.
  6. Hanya golongan ekstremis yang percaya bahawa penutupan sekolah vernakular adalah baik untuk negara, tetapi udang di sebaliknya adalah untuk mencapai agenda politik sendiri. Khususnya, Perikatan Nasional hanya boleh memainkan sentimen perkauman kerana kekurangan modal politik yang lain. Dr Akmal dan Pemuda UMNO tidak seharusnya mengikut jejak Perikatan Nasional dan jatuh ke dalam perangkap PN.
  7. Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi sebelum ini turut telah memutuskan bahawa penggunaan bahasa Cina dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina adalah selaras dengan Perlembagaan dan hak tersebut adalah dilindungi oleh Perlembagaan.
  8. Oleh itu, saya menyeru Ketua Pemuda UMNO supaya mengubah pendiriannya dan turut mempertahankan pendidikan bahasa ibunda. Kenyataan Dr Akmal dan Pemuda UMNO tidak memberi faedah langsung kepada perpaduan nasional, malah hanya akan mengguris hati masyarakat bukan Melayu dan mencetuskan sentimen perkauman antara kaum di negara ini.
  9. Akhirnya, saya menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri 1 Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi untuk mengarahkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar menghentikan kenyataan bersifat perkauman demi mengelakkan rasa kesangsianan dan kerisauan di kalangan masyarakat, serta mempertahankan prinsip MALAYSIA MADANI.