Parti Tindakan Demokratik (DAP) melalui Persidangan Kebangsaan 2014 telah mengukir sejarah apabila menjadi parti politik pertama dalam sejarah tanahair yang meluluskan Pindaan Perlembagaan Parti untuk memberi peluang kepada wanita menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP.
Impak tindakan afirmatif DAP ini nampaknya telah “hit a nerve” saudara Ti Lian Ker yang juga Pengerusi Biro Harmoni Agama MCA, dengan kenyataannya yang kononnya perkembangan terbaru ini sebagai satu muslihat untuk memancing undi wanita! Mengapa sesempit itu pemikiran dan reaksi mereka??
Agaknya di bawah tempurung MCA mana pula seksis ini berselindung?
Jelas, bukan sahaja Ti Lian Ker gagal menjalankan tugasnya dengan baik dan secara berkesan di dalam partinya sendiri, hatta gagal juga memahami isu ini secara lebih jujur dan cermat. Reaksi negatifnya hanya menzahirkan betapa jahilnya dia terhadap isu yang sedang kita perjuangkan, bahkan turut menjadi topik hangat dalam mana-mana pergerakan wanita yang lebih progresif. Ternyata dia dan MCA gagal melihat usaha DAP untuk mengukuhkan peranan wanita dalam arena politik yang sekian lama didominasi oleh kaum lelaki ini sebagai satu usaha yang didambakan oleh kebanyakan wanita di seluruh negara hatta dunia.
Tuduhan liar Ti Lian Ker bahawa kononnya DAP telah memainkan isu perkauman dan seterusnya terlibat dalam aktiviti-akiviti yang memberi kesan melebarkan jurang perkauman selama ini adalah satu tuduhan yang serius dan adalah sangat tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan secara sengaja mewujudkan perasaan cemas dan kegusaran awam terhadap DAP.
Ironinya, pertuduhan jahat ini datang daripada sebuah parti berasaskan kaum yang selamanya sebenarnya menyelindungkan prejudis perkauman mereka di sebalik kelambu dacing! Barangkali Ti Lian Ker perlu kita sedarkan akan hakikat ini. Singgungan Ti Lian Ker kepada DAP dalam hal ini adalah ibarat seekor ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus sedang hakikatnya dia sendiri berjalang bengkang bengkok. Sangat memualkan!
Taktik meroyan tanpa hala-tuju tanpa membuat semakan fakta serta usaha untuk mencantas apa-apa sahaja yang membawa kebaikan dan memberdayakan rakyat Malaysia telah menjadi modus operandi MCA dan sekutunya UMNO dan MIC, dulu, kini dan selamanya.
Tidakkah pemimpin MCA ini sedar bahawa peratusan wanita yang telah keluar untuk membuang undi dalam Pilihanraya Umum Ke-13 adalah 50.23% atau 6,664,474 pengundi dan lelaki adalah 49.77% atau bersamaan 6,603,528 pengundi? Perbandingan ini jelas menandakan bahawa lebih dari 50 peratus pengundi adalah dari kaum wanita. Dengan lebih dari separuh populasi negara yang telah keluar memilih Wakil Rakyat dalam PRU13. Maka, atas rasional apakah Ti Lian Ker terdorong untuk mempertikaikan cadangan kuota wanita 30% dalam penglibatan politik? Anehnya, individu dan parti yang mempertikaikannya pula adalah daripada satu parti yang ditubuhkan berasaskan kaum dan minoriti!
Ternyata pandangannya wakil MCA ini yang mengatakan bahawa isu gender ini merupakan isu yang ‘panas’ untuk diperjuangkan memandangkan kaum wanita hari ini lebih berkuasa, dari segi bilangan dan tahap pendidikan mereka; jelas menampakkan dia berada dalam situasi pemahaman yang tidak stabil dan barangkali “kurang sihat”.
Sama ada Ti Lian Ker menghidapi gynophobia, yakni fobia terhadap wanita atau barangkali juga inilah sebenarnya wajah politik regresif MCA. Ibarat kata-kata perumpamaan “tidak tahu menari, dikatakan lantai berjongkang-jongket”!
Tindakan DAP ini jelas telah menggugah amalan politik MCA yang hakikatnya sudah jauh terpesong daripada perjuangan sebenar parti dan kini hanya mampu kelihatan seperti “lame duck” di sisi parti yang lebih dominan iaitu UMNO.
Barangkali Ti mengalami “amnesia selektif” kerana pada 11 Oktober 2014 yang lepas, dalam akhbar The Star, Wanita MCA telah menggesa agar 30% diperuntukkan bagi calon wanita dalam PRU14 selaras dengan polisi negara yang menggariskan 30% penglibatan wanita dalam bidang pelbagai bidang termasuklah arena politik dan pembuatan keputusan.
Secara perbandingan, rekod PRU13 mencatatkan MCA telah memenangi 7 kerusi Parlimen tetapi tiada satu pun daripadanya merupakan kerusi bagi Ahli Parlimen wanita. Justeru, dengan rekod perwakilan di Parlimen dan DUN yang begitu teruk, adalah sangat ironi mendengar MCA mengeluarkan komen-komen pahit terhadap pembaharuan peruntukan kuota 30% bagi wanita dalam CEC DAP.
DAP komited mempercayai bahawa sebuah masyarakat yang memberi kepentingan kepada hak wanita akan melindungi dan memperkukuhkan hak asasi manusia sejagat. Kita menginsafi bahawa wanita merangkumi lebih dari separuh dari populasi warga dunia. Kita juga menyedari betapa wanita merupakan lebih 70 peratus warga miskin dunia dan dua pertiga daripada mereka yang masih buta huruf.
Statistik sehingga 1 November 2014, dalam senarai peratusan wanita di Parlimen dunia menunjukkan kedudukan Malaysia adalah antara yang tercorot iaitu 120 daripada 152 negara. Iaitu 10.4 peratus sahaja, satu tempat di bawah Democratic Republic of The Congo dengan 10.6%. Sekaligus di kedudukan lebih 30 tangga di bawah Democratic People’s Republic of Korea dan Republik Korea dengan kedua-duanya 16.3 peratus dan ironinya, PM Najib seminggu yang lepas secara bangga menasihati kita agar mencontohi Korea! Apakah Ti Lian Ker dan MCA sedar akan fakta-fakta ini?
Negara yang mengamalkan kuota 30% bagi penglibatan wanita dalam dunia politik adalah negara pendukung konvensyen CEDAW yang mentakrifkan isu diskriminasi terhadap wanita dan punya usaha-usaha serta gerakan untuk menghapuskannya.
Wanita DAP berpendirian bahawa wanita harus diberikan hak untuk mengambil bahagian dalam mengolah senario politik negara masing-masing. Justeru itu, pendirian DAP adalah jelas; peruntukan kuota 30% bagi wanita dalam CEC adalah satu langkah ke hadapan, satu langkah ke arah yang betul bagi pemberdayaan wanita sama ada di peringkat parti, mahupun seluruh negara.
Oleh yang demikian, sekiranya MCA “hilang punca” tentang bagaimana ianya boleh memberikan hak samarata kepada kaum wanita, mungkin sudah tiba masa untuk parti ‘pak turut’ ini mengambil iktibar daripada DAP yang berani mengambil pendirian memartabatkan wanita sepertimana yang termaktub dalam doktrin parti yang menjulang demokrasi, kebebasan dan keadilan.