Saya berasa terkejut atas kenyataan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang menafikan kegiatan pembalakaan kembali di Bentong. Kenyataan Menteri Besar adalah penafian kosong yang tidak bertanggungjawab, ini juga membuktikan bahawa beliau bukan menteri besar yang berjiwa rakyat.
Penduduk tempatan telah membuat laporan polis, tetapi beliau memilih untuk menutup mata dari hakikat. Adakah Menteri Besar berasa penduduk tempatan membuat laporan polis palsu? Sikapnya sungguh mengecewakan.
Gambar rakaman dron jelas menunjukkan kegiatan pembalakan berskala besar sedang berlaku di kawasan Bentong. Bukan sahaja, terdapat juga gambar yang memaparkan kayu-kayu balak yang tunggu dihantar keluar; video dan gambar yang tertular dalam media sosial juga cukup membuktikan kewujudan aktiviti penebangan di Bentong. Kenyataan Menteri Besar yang kononnya minta bukti adalah tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima.
Menteri besar tidak mengarahkan Jabatan Perhutanan supaya menjalankan siasatan dengan segera selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan ataupun ahli DUN pembangkang, tetapi sebaliknya memburuk-burukkan ADUN pembangkang yang mendedahkan kegiatan berkenaan.
Jabatan Perhutanan meluluskan kegiatan pembalakan atas tanah berkenaan sepanjang tempoh 1 haribulan November 2021 sehingga 31 haribulan Januari 2022. Walau bagaimanapun, Jabatan Perhutanan mengeluarkan arahan pada 3 haribulan Januari bagi menangguhkan aktiviti pembalakan selepas bencana banjir melanda Pahang.
Namun demikian, pihak berkenaan mengabaikan larangan Jabatan Perhutanan secara terang-terangan dan meneruskan aktiviti pembalakan dengan degil. Tindakan kontraktor dan pelesen berkenaan tidak menghormati undang-undang dan seumpamanya satu tamparan bagi Menteri Besar.
Menteri Besar asyik meminta saya mengemukakan bukti bagi pembalakan haram tetapi mengelak daripada berkomen atas kegiatan pembalakan yang dijalankan dalam tempoh larangan pembalakan. Adakah Menteri Besar cuba melindungi mana-mana pihak?
Saya juga mengalu-alukan tawaran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dr Sallehuddin Ishak untuk turun padang sama-sama. Beliau boleh menghubungi saya pada bila-bila masa, saya boleh melawat tapak penebangan bersamanya dengan penduduk tempatan bagi membantu kerajaan negeri dalam siasatannya.
Saya juga berharap kerajaan negeri supaya memandang serius terhadap kegiatan pembalakan sama ada berlesen atau tidak berlesen dalam negeri dan kesannya terhadap banjir. Kerajaan negeri tidak patut melindungi aktiviti pembalakan secara membabi buta dan akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat.
Berlakunya banjir yang paling teruk di Bentong pada 18 Disember lalu dan ribuan keluarga terkesan. Tidak cukup besarkah pengajaran ini?