Skip to content

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Adalah Tidak Beretika

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung peniaga cina adalah satu kenyataan yang tidak beretika dan cuba menambahkan sikap prejudis di kalangan rakyat. Menteri kemudiannya menyatakan beliau hanya mensasarkan kepada sesetengah peniaga cina sahaja. Saya ingin mengemukakan pertanyaan, siapakah kelompok yang disasarkan oleh Menteri tersebut? Menteri perlu memberikan penjelasan dan nama mereka yang terbabit.

Jika Menteri Pertanian dan Asas Tani mempunyai pengetahuan peniaga-peniaga yang enggan menurunkan harga ini, mengapa Menteri tidak memilih untuk memberikan bukti kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan serta di dalam Mesyuarat Kabinet agar tindakan dapat diambil. Menteri perlu menjelaskan perkara ini.

Akhbar dan media sebelum ini telah mendedahkan bahawa Kementerian Pertanian dan Asas Tani mempunyai 6 ribu tan beras yang tersimpan di sebuah gudang di bawah BERNAS di Perlis selama 3 tahun dan sudah pun rosak. Menurut kenyataan dari pegawai Kementerian Pertanian, dipercayai ada banyak kes seumpama ini yang berlaku di negeri-negeri lain.

Apakah hasil siasatan yang telah dijalankan? Adakah apa yang disebutkan oleh Menteri ini adalah satu percubaan untuk mengalihkan tumpuan orang ramai supaya tidak membangkitkan mengenai hal beras ini?

Jika Menteri mengatakan bahawa kenyataannya di laman sosial adalah untuk mensasarkan kepada kelompok penyokongnya sahaja tetapi Menteri harus sedar bahawa laman sosial ini adalah laman umum. Menjadi rasis itu adalah persoalan individu tetapi menimbulkan secara umum itu merupakan tindakan yang sangat tidak meloyakan. Adakah perkara ini adalah kerana kebodohan ataupun memang disengajakan?

Perdana Menteri, Najib Razak perlu segera mengambil tindakan terhadap Menteri-Menteri Kabinetnya yang semakin hari semakin lemah dan tidak bertanggungjawab. Timbul persoalan seterusnya adakah Menteri-Menteri ini merupakan penyokong Tun Mahathir dan memang sengaja mengeluarkan kenyataan sebegini dengan tujuan untuk mensabotaj usaha Perdana Menteri dalam polisi 1Malaysia dan Kesederhanaan.

Menteri ini sama ada atas kapasiti peribadi ataupun seorang Menteri telah mengeluarkan kenyataan yang menafikan 1Malaysia dan Kesederhanaan ini perlu meletakkan jawatan kerana tidak lagi bersama dalam idealisme kepimpinan Najib. Dan kegagalan Najib dalam memecat Ismail Sabri adalah bukti sikap talam dua muka Najib selama ini.